Hai semua…Selamat menyambut Tahun Baru Cina!
Saya di sini bukanlah ingin menceritakan tentang sambutan Tahun Baru Cina tetapi ingin menceritakan tentang peristiwa dan agenda yng diadakan pada cuti Tahun Baru Cina. Pada 4 Februari, sepupu saya telah selamat diijabkabulkan dengan kekasih hatinya yang kini bergelar suaminya.
Pada pagi hari kejadian, ramai saudara-mara dan jiran tetangga datang merewang dan bergotong-royong. Sudah menjadi adat dan kebiasaan masyarakat Kelantan memasak sendiri gulai secara bergotong-royong, bukannya membuat tempahan daripada katering.
Semasa mereka sedang khusyuk merewang sambil berbual-bual, saya pula asyik melihat gelagat mereka semua. Pelbagai cerita ditimbulkan, daripada perkara kecil sehinggalah kepada isu besar. Pelbagai karenah ditonjolkan mereka, maklumlah mereka akan menyambut keluarga baru, jadi tentulah mereka seronok.
Tetapi apa yang ingin dikatakan di sini, cara komunikasi dan bahasa yang digunakan oleh golongan tua dan muda amat berbeza. Bagi golongan muda yang datang membantu memotong sayur, mereka asyik mengusik sesama sendiri dan bertanyakan bila salah seorang daripada mereka akan melangsungkan perkahwinan. Manakala bagi golongan tua pula, mereka selalu berbicara mengenai isu-isu dan perkara yang penting seperti tentang masakan, kedatangan pihak lelaki, persediaan dan kelengkapan serta perihal persandingan. Jadi, kedua-dua isu yang ditimbulkan sangat berbeza.
Dari segi bahasa pula, golongan remaja kebanyakan menggunakan bahasa yang santai dan bersifat remaja. Tidak seperti golongan berumur yang menggunakan bahasa yang sopan.
Jadi, apa yang dapat dikatakan di sini, antara golongan remaja dengan golongan tua, terdapat perbezaan yang jelas dari segi penggunaan bahasa dan isu yang dibangkitkan.
0 ulasan:
Catat Ulasan