Ceritanya begini, semalam saya telah pergi ke rumah adik saya di Klang, Selangor. Hal ini demikian kerana, ibu dan kakak saya ada di sana. Mereka datang dari Kelantan. Kakak saya pula membawa dua orang anak perempuannya iaitu Aleeya Fatihah dan Raisha Najwa.
Rumah adik saya ini berada di kedudukan yang sangat strategik kerana berhadapan dengan taman permainan kanak-kanak. Hal ini akan menarik perhatian anak saudara saya yang memang suka akan taman permainan kanak-kanak. Ketika berada di kampung, saya akan selalu membawa anak saudara saya ke taman permainan kanak-kanak.
Pada suatu petang, anak saudara saya ini terlalu asyik melemparkan pandangan ke luar pintu untuk melihat kanak-kanak lain bermain di kawasan tersebut. Kakak dan ibu saya pula keberatan untuk membawanya ke sana, tambahan pula mereka masih kepenatan kerana seharian berada dalam bas. Tetapi anak saudara saya mengambil tindakan berani dengan keluar tanpa pengetahuan kami. Nasib baik ibu saya merangkap neneknya sedar. Dan serentak dengan itu, ibu saya menegur:
"Keluarlah...keluar! Nanti biar anjing gigit. Anjing banyak di luar sana."
Anak saudara saya yang sedang laju berjalan ketika itu tersentak. Dia memandang ke arah seekor anjing yang berada di tepi kawasan tersebut dan serentak dengan itu, dia masuk ke dalam rumah kembali.
Buah Fikiran:
Bahasa teguran yang ibu saya gunakan itu bersifat sindiran dan mengandungi makna konotatif di situ. Maksud sebenar yang ingin dinaytakan di situ adalah supaya anak saudara saya tidak pergi bermain di kawasan taman permainan kanak-kanak seorang diri dan takut akan anjing-anjing yang berkeliaran di kawasan persekitaran tersebut. Sesungguhnya orang Melayu kaya dengan bahasanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan