Situasi:
Seronok bila menonton cerita Hantu Kak Limah Balik Rumah. Jalan ceritanya penuh dengan unsur humor dan boleh menghilangkan tekanan tatkala tugasan-tugasan semakin banyak yang diberikan oleh pensyarah. Dalam cerita tersebut juga, ada diselitkan dengan adegan apabila salah seorang pelakon menyatakan “Bahasa Jiwa Bangsa”. Saya cukup bersetuju dengan pernyataan tersebut kerana bahasa dapat mencerminkan siapa diri kita sebenarnya di sebalik topeng yang kita gunakan ini. Begitu juga hasrat kerajaan yang mahukan kita menggunakan bahasa yang baik dan berhemat. Dan usaha kerajaan ini diteruskan lagi dengan kempen-kempen yang diadakan apabila banyak papan tanda “Budi Bahasa Budaya Kita” yang digantung di segenap ruang sama ada di tepi lebuhraya, kedai, bangunan kerajaan, di tempat awam dan sebagainya.
Tetapi apa yang menghairankan saya, ada juga segelintir masyarakat yang bermuka tebal dan berdegil menggunakan bahasa yang kesat dan kasar sedangkan ketika itu dia berdiri betul-betul di sebelah papan tanda tersebut. Kadang-kadang terfikir di hati saya apakah asuhan dan cara didikan keluarga juga mempengaruhi cara tutur kata kita? Ataupun rakan sebaya banyak mempengaruhi percakapan kita?
Buah Fikiran:
Bagi kedua-dua soalan tersebut, saya berpendapat kedua-duanya mungkin mempunyai perkaitan rapat dan turut menyumbang kepada masalah dan isu tersebut. Tidak salah rasanya kita bertutur dalam bahasa yang elok dan berpekerti malah kita juga akan mendapat ganjaran daripada tuhan selain daripada disayangi oleh masyarakat dan orang sekeliling.
0 ulasan:
Catat Ulasan