Kali ini saya ingin bercerita tentang dialek-dialek yang terdapat di negara kita. Seperti yang kita telah sedia maklum, negara kita mempunyai pelbagai dialek yang unik mengikut negeri serta kedudukan geografi sesebuah tempat. Antara dialek yang cukup terkenal dalam kalangan kita adalah seperti dialek Kelantan, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang. Manakala dialek negeri Johor, Melaka dan Selangor tidak mempunyai banyak beza dan jika dilihat dengan mata kasar, ia langsung tidak menampakkan sebarang perbezaan.
Hendak dijadikan cerita, saya sekarang menetap di Taman Bahtera Terrace Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Saya tinggal bersama rakan serumah yang berasal dari pelbagai negeri seperti Kelantan (tiga orang), Terengganu (seorang), Perlis (seorang), Pahang (seorang), Johor (seorang), Perak (dua orang) dan Kedah (dua orang). Ketika sedang menjamu selera, kami makan beramai-ramai dan apa yang paling menarik kami akan berbual dan berbicara menggunakan dialek negeri masing-masing. Kami semua tidak mengalami kesukaran dalam memahami ayat tersebut kerana ia lebih mudah difahami jika kita tahu konteksnya. Perbualan kami menjadi lebih menarik dengan adanya variasi dialek ini dan secara tidak langsung kami dapat mempelajari dialek masing-masing.
Antara perkataan dari dialek Kedah yang menjadi ingatan tetap di kotak minda saya ialah "kopek". Hal ini demikian kerana dalam dialek Kedah perkataan "kopek" membawa maksud beg duit atau dompet tetapi dalam dialek Kelantan, perkataan tersebut membawa maksud payudara. Hal ini berbeza pula dengan bahasa Melayu standard kerana perkataan "kopek" akan mendukung makna mengupas sesuatu seperti mengupas kulit buah. Jadi, jika kita lihat di sini daripada satu perkataan kita dapat menjadikan ia pelbagai makna jika dilihat dari sudut semantik berdasarkan dialek negeri.
Bagi saya, tidak rugi untuk seseorang itu belajar dialek daripada kawan-kawan yang berasal dari negeri yang berbeza kerana hal ini akan membuatkan kita kaya dengan kosa kata yang pelbagai. Di samping itu ia akan memudahkan lagi hubungan interaksi kita dan melancarkan lagi proses komunikasi kita bersama kawan-kawan yang berbeza negeri dan dialek. Jadi, belajarlah dialek-dialek yang terdapat di Malaysia. Walaupun sukar tapi tanpa keberanian mimpi tidak akan bermakna. =D
0 ulasan:
Catat Ulasan