BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Selamat datang ke blog saya.... =D


Jumaat, 28 Januari 2011

SIRIH PULANG KE GAGANG ----> KELANTAN

Bendera Negeri Tercinta - KELANTAN



Alhamdulillah..Pagi esok (Sabtu) aku akan berangkat pulang ke kampung. Hati ini terasa tidak sabar untuk pulang ke kampung berjumpa keluarga dan kawan-kawan. Walaupun baru berada di Tanjong Malim sekitar sebulan tapi aku merasakan begitu lama masa berlalu. Aku rasa seperti akulah orang yang paling lama melangkah keluar dari Pekan Tanjong Malim. Kawan-kawan aku semua telah berangkat sekitar hari Khamis malam dan Jumaat pagi. Hal ini demikian kerana pada hari Khamis kami tiada kuliah. 

Jadi, bermula pada hari esok aku akan bertutur dalam dialek Kelantan, tidak kira kepada siapa kerana aku akan menjejakkan kaki di bumi Kelantan. Sesungguhnya aku bangga menjadi anak Kelantan. Kelantan sememangnya mempunyai dialek yang begitu unik kerana dalam menentukan satu makna, dialek Kelantan ini mempunyai banyak perkataan atau nama.  Begitu juga dengan satu perkataan tetapi mempunyai banyak makna. Unik, bukan?

Contoh perkataan yang terdapat dialek Kelantan yang mempunyai satu makna banyak nama ialah :
kerek, acak, sokmo  
  • kerek : disebut kèrek bermaksud acap kali, banyak, rapat-rapat; contoh aya
  1. Dia kerek singgoh di ghumah aku. ( Dia acap kali datang ke rumah aku.)
  • kèrek juga membawa maksud rapat, lawannya jarang; contoh ayat:
  1. Emakmu beranok kérek. ( Emak kamu beranak rapat-rapat atau banyak.)
Begitu juga kata acak dan sokmo yang digunakan bersilih ganti kerana membawa maksud yang sama atau hampir sama. Contoh ayat:-
  1. Dollah acak/kérek gi Kota Bharu. ( Dollah kerap pergi ke Kota Bharu.)
  2. Dia tidor sokmo/acak dale kelas. ( Dia selalu tidur di dalam kelas.)
Contoh perkataan yang terdapat dialek Kelantan yang mempunyai banyak makna satu pula ialah: 
bu'
Bu-a membawa maksud bercakap, cakap banyak yang lebih kepada bohong atau cakap tak jujur. Bu-a juga boleh membawa maksud menipu. Contoh ayat:-

1. Mu ni suko bena bu-a. ( Awak ni suka sangat bercakap. ) 
2. Jange cayo dio, dio acak bena bu-a. ( Jangan percaya dia, dia kerap bercakap bohong/menipu.)

Selain daripada perkataan bu'a, banyak lagi perkataan yang terdapat dalam dialek Kelantan yang mempunyai banyak makna. Antaranya ialah naka (nakal, lawak) dan belawok (menipu, berlawak). 

Wah, aku jadi semakin tidak sabar untuk balik ke kampung halamanku. Hanya tinggal lagi beberapa jam sahaja lagi aku akan melangkah dan menjejakkan kaki di bumi Kelantan. 

Buah fikiran: 
Dialek Kelantan merupakan salah satu daripada variasi bahasa yang unik dan kaya terutamanya dari segi sebutan, kosa kata dan makna. Bagi terus memelihara khazanah bahasa yang cukup berharga ini, pelbagai tindakan dan inisiatif telah diambil. Antaranya ialah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) telah mengadakan rancangan Rampai Budaya: Kayanya Bahasa Kita yang disiarkan secara langsung melalui siaran Kelantan FM.Sayangilah dialek kita! 8-)
Laman Web Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan
Logo Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan
Bergambar kenangan bersama dua orang pemain bola sepak Kelantan iaitu Daudsu dan Piya
Gomo Kelate Gomo...Bia sapa cawak gote..



Khamis, 27 Januari 2011

Ragam Bahasa Remaja

 
Sekarang pelbagai ragam bahasa yang digunakan terutamanya dalam kalangan remaja. Mereka seolah-olah cuba  membentuk perkataan lain agar ianya kelihatan lebih menarik dan sedap didengar serta disebut. Sebagai contoh:
  • Mereka (diorang)
  • Kami (kitorang)
  • Kamu semua (korang)
  • Seorang diri (sorang2)
  • Sayang (tayunk)
  • baiklah (okai, okeng)
  • kenapa dengan engkau (wak lu)
  • kenapa (amende)
  • I love You (i lap u, lebiu)
Bagaimana rasanya kalau anak-anak zaman sekarang bercakap begitu dengan kedua ibu bapa mereka? Mesti nampak agak kurang ajar, bukan? Contohnya: 
"Wak lu ayah?"
Mesti penampar hangat akan hinggap di pipi remaja itu dengan sepantas kilat kan? Mesti ibu bapa itu akan terkejut apabila anaknya berbicara sebegitu dengannya kerana ia menampakkan seolah-olah anaknya itu tidak mempunyai didikan agama yang cukup. 

Namun inilah yang dikatakan sosiolinguistik atau dengan kata lain bahasa dan masyarakat. Percakapan kita akan dan boleh berubah pada bila-bila masa sekiranya pergaulan dan pengaruh rakan sebaya berlaku. Saya juga percaya ramai yang meggunakan bahasa sebegini, baik yang bekerja, belajar di universitu mahupun yang tinggal di pelosok mana sekalipun. 

Komen: 
Tidak salah sebenarnya sekiranya kita berbahasa sebegitu namun jika dinilai dari sudut sensitiviti, ia dianggap tidak sopan dan boleh menyinggung sesetengah masyarakat yang mendengarnya. Apa salahnya jika cuba untuk menggunakan bahasa yang elok, bersopan dan sedap didengar? Apabila kita berbahasa dengan penuh sopan, orang lain juga akan menghormati kita. Betul?

Malaysia & Indonesia = Bahasa Melayu

Assalamualaikum kawan-kawan....

Hari ini saya belajar sesuatu yang baru. Kamu semua mahu tahu? Saya belajar perbezaan dan persamaan bahasa Melayu di Malaysia dan Indonesia. Sangat seronok!

Kalau kawan-kawan ingin tahu bahasa Melayu merupakan loghat utama dalam bahasa Indonesia yang dipergunakan oleh bangsa Indonesia, begitu pula dengan bahasa Melayu di Malaysia, Brunei, dan Singapura. Penamaan bahasa Melayu di Indonesia dengan nama bahasa Indonesia bermula daripada Sumpah Pemuda tanggal 28 Oktober 1928 sebagai bentuk persatuan dan kesatuan bangsa Indonesia yang memiliki khazanah budaya dan bahasa dan status tersebut dirasmikan menjadi bahasa negara pada kemerdekaan negara Republik Indonesia pada tahun 1945.
Tidak dapat dibezakan secara keterlaluan antara bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia dengan alasan bahawa bahasa Melayu yang dipakai sebagai bahasa kebangsaan Indonesia iaitu bahasa Melayu yang dipertuturkan di negeri Riau (merupakan bahasa Melayu Tinggi atau bahasa Melayu standar atau bahasa Melayu piawai) dan telah ditemukan bukti-bukti konkrit sejarah tentang asal-usul bahasa Melayu pada tulisan di batu tulis di daerah Sumatera Selatan dan hulu Jambi. Kecuali dengan pernyataan yang lebih khusus mengenai perbezaan ini, barulah boleh dengan nyata perbezaan ini boleh diserlahkan. Sebagai contoh, perbezaan bahasa Indonesia dan bahasa Malaysia. Dua bahasa itu meskipun berakar daripada bahasa Melayu yang sama iaitu bahasa Melayu dari tanah Sumatera, mereka memiliki latar belakang sejarah dan perlakuan yang berbeza daripada segi tatabahasa, kedinamisan, dan kosakata.
Perbezaan itu secara garis besar dapat dipaparkan sebagai berikut:
  1. Dari latar belakang penjajahan asing boleh dikatakan bahawa bahasa Indonesia lebih meminjam bahasa Belanda sedangkan bahasa Malaysia lebih meminjam bahasa Inggeris.
  2. Dari segi perlakuan, kedua-dua bahasa tersebut diperlakukan sesuai dengan kebijakan kebahasaan di negara masing-masing, namun ada perhimpunan yang mengatur bahasa Melayu yang dipanggil dengan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM).

Perbezaan yang penting antara bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia

Bhasa Indonesia berbeza daripada bahasa Melayu khususnya di Malaysia kerana mempunyai perkataan yang berasal daripada Jawa dan Belanda meskipun bahasa Indonesia didasarkan dan didominasi dari bahasa Melayu Riau. Contohnya "pejabat pos" dikenali sebagai "kantor pos" di Indonesia. Perkataan ini berasal daripada perkataan Belanda kantoor untuk "pejabat". Ketika zaman penjajahan, bahasa Indonesia menggunakan "oe" untuk bunyi "u", sama seperti bahasa Belanda. Namun, setelah penaklukan Jepun, ejaan tersebut ditukar kepada "u". Begitu juga dengan bahasa Melayu. Sebelum 1972, bunyi "ch" dieja dengan "ch" dan bahasa Indonesia menggunakan "tj". Oleh itu, perkataan "cap" telah dieja sebagai "chap" dan "tjap" dalam Bahasa Indonesia. Selepas "Ejaan Yang Disempurnakan" diperkenalkan pada 1972, kedua-dua bahasa menggunakan ejaan yang sama, iaitu "cap". Contoh ejaan lain ialah "dj" (Indonesia) diganti dengan "j" seperti di Malaysia. Ada beberapa ejaan yang masih dikekalkan atas sebab sejarah, contohnya "wang" (Bahasa Malaysia) dan "uang" (Bahasa Indonesia).

Cara sebutan juga berbeza dengan Indonesia dan Malaysia Timur bercakap dalam bahasa Baku, iaitu perkataan-perkataan disebut seperti dalam ejaan.

Perbezaan kosa kata

Bahasa Inggeris Bahasa Malaysia Bahasa Indonesia
March Mac (daripada Bahasa Inggeris) Maret (bahasa Belanda: Maart)
August Ogos Agustus (bahasa Belanda: Augustus)
challenge cabaran tantangan (cabaran [kecabaran] juga digunakan dalam makna ketakutan)
speak bercakap berbicara (bercakap juga digunakan)
shop kedai toko (kedai digunakan dalam erti warung)
ticket tiket   karcis (bahasa Belanda: kaartje; tiket juga digunakan)
pharmacy farmasi apotek (bahasa Belanda: apotheek; farmasi juga digunakan [biasanya untuk yang bermakna apotek, ia didampingi dengan kata instalasi sebelum kata farmasi])
Monday Isnin Senin
restaurant restoran rumah makan (restoran juga digunakan)
because kerana karena
hospital hospital ('rumah sakit' digunakan sebelum kemerdekaan Malaysia) rumah sakit (bahasa Belanda: ziekenhuis)
zoo taman haiwan, zoo kebun binatang (bahasa Belanda: dierentuin)
television televisyen televisi (bahasa Belanda: televisie)
university universiti universitas (bahasa Belanda: universiteit)
head office ibu pejabat kantor pusat
car kereta mobil, oto (kereta juga digunakan dengan penggunaan yang berbeza contohnya iaitu kereta gantung, kereta kuda, kereta angin, kereta dorong, kereta bogi, kereta jenazah, kereta api, dan sebagainya selain yang bermakna mobil atau oto)

Sama kata lain erti

Selain perbezaan kosa kata, Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia juga berkongsi perkataan-perkataan yang sama tetapi berlainan maksudnya. Oleh sebab perkataan-perkataan berkenaan kerap digunakan dalam salah satu atau kedua-dua bahasa tersebut, maka mudah timbulnya salah faham.

Perkataan Bahasa Malaysia Bahasa Indonesia
ahli seseorang (yang tergolong dalam sebuah kumpulan)
(hanya sebagai kata tunggal),
pakar dalam sesuatu bidang
pakar dalam sesuatu bidang
akta undang-undang surat rasmi yang disahkan oleh suatu badan rasmi atau pemerintah
baja bahan untuk menyuburkan tumbuh-tumbuhan keluli, besi waja
banci perhitungan bilangan penduduk dsb. seorang homoseksual pondan
berbual bersembang berbohong, omong kosong
bercinta meluahkan rasa kasih sayang sesama sendiri bersetubuhan
biji pil, benih benih
bisa racun, toksik boleh, dapat; racun
bogel telanjang, langusng tidak berpakaian bugil, orang kerdil
bontot/buntut punggung ekor
budak kanak-kanak, orang muda hamba abdi
butoh/butuh alat kelamin lelaki(lucah) perlu
comel cantik dan menarik, molek (ujaran bagi) seorang yang mulut tempayan (tidak boleh menyimpan rahsia); comel dalam erti cantik juga digunakan dalam bahasa daerah tertentu
email emel enamel, email
gampang anak luar nikah (kesat) senang; mudah
jabatan bahagian drpd pentadbiran kerajaan dll yg mengurus tugas-tugas tertentu kedudukan rasmi
jahat nakal durjana, penjenayah
jawatan kedudukan rasmi jawatan, pejabat pemerintah
jemput mengajak atau menyilakan datang memetik, mengajak atau menilakan datang
jeruk buah-buahan (sayur, telur, ikan, dll) yg telah diasamkan (atau diasinkan) oren
jimat cermat (tentang perbelanjaan wang atau penggunaan sesuatu), hemat, tidak boros azimat
kacak tampan, segak, menarik (bagi lelaki) memegang kiri kanan pinggang dgn kedua-dua belah tangan (berkacak pinggang); segak
kakitangan pekerja, seorang yang diupah ahli kongsi gelap
kapan (kain kafan/kapan), kain penutup mayat bila
karya hasil seni (karyawan=artists) work (karyawan= workers)
kerajaan mana-mana bentuk pentakbiran negeri/negara sistem kerajaan beraja; kerabat diraja
kereta motokar, kenderaan beroda empat yg digerakkan dgn enjin pembakaran dalaman kereta api, kereta gantung, kereta kuda, kereta jenazah, kereta dorong dll; kendaraan beroda yang digerakkan dengan enjin atau tenaga makhluk hidup (kereta dalam erti mobil adalah tidak lazim dalam bahasa Indonesia selain dalam bahasa daerah tertentu)
khidmat servis, kerja dll utk memenuhi keperluan orang ramai dll memberi tumpuan sepenuhnya, khidmah = hormat
pajak gadai janji cukai
pelan rancangan pembinaan atau pembangunan perlahan
pejabat tempat bekerja pegawai
pemerintah badan atau kumpulan orang yang mengendalikan pentadbiran sesuatu negara kerajaan
pengajian pendidikan pengajian al-Quran
percuma tidak dikenakan bayaran tidak berguna, sia-sia
pijat kutu; ralat pemprograman komputer urut
dari pijet (bahasa Jawa)
polis mata-mata, angkatan keselamatan sivil dasar (insuran dll.)
polisi dasar (insuran dll.) polis
pusing mengelilingi sesuatu tempat, bergerak dalam bulatan, berputar pening, keliru
pupuk menyemai (nilai murni dsb.) baja (juga bermaksud 'memelihara' dalam erti kata metafora)
tambang bayaran penggunaan pengangkutan awam lombong, tali
tandas jamban, tempat membuang air menjelaskan (sesuatu); menyelesaikan (sesuatu perkara) dengan tegas; jamban; tempat mandi di sungai
sulit rahsia; sukar sukar kerana jarang ditemukan

Komen: 
Wah, sangat bagus belajar tentang kedua-duanya ini! Memang tidak dapat dinafikan bahasa yang digunakan oleh kedua-dua negara ini tidak jauh bezanya kerana bahasa Melayu tetap menjadi dasarnya. Begitu juga dengan Brunei tetapi sebutannya lebih ke arah baku.

Kenapa dialek Kelantan?

Alkisahnya bermula di sini........

Semalam, iaitu bersamaan dengan hari Khamis tanggal 27 Januari 2011, aku ke kelas Sosiolinguistik Bahasa Melayu dan Karya Agung Melayu di Proton City. 
Kelas pertama yang aku hadiri ialah kelas Sosiolinguistik. Subjek ini diajar oleh seorang pensyarah wanita yang sangat selamba iaitu Dr. Saniah Abu Bakar. Semasa sedang seronok belajar, pensyarah telah menyebut tentang dialek Kelantan. Katanya, dialek Kelantan selalu dan sering didengar tidak kira di mana sahaja dan beliau juga menegaskan bahawa masyarakat Kelantan sukar untuk meninggalkan dialeknya. Pada saya tidak sama sekali. Apa yang menarik semalam, pensyarah kami telah belajar sesuatu yang baru dari kami iaitu satu istilah yang berasal dari Kelantan. 

Pada mulanya Dr. Saniah memberitahu bahawa masyarakat di Kelantan memanggil plastik dengan sebut "supik gelenya". Beliau juga sempat melawak bahawa sekiranya kami ke Sarawak dan sedang berbicara dengan orang Sarawak yang kita inginkan "supik", nanti sesuatu yang lain akan berlaku. Hal ini demikian kerana, masyarakat di Sarawak menganggap "supik" itu sebagai "sumpit". =P

Selepas itu saya bergurau dengan pensyarah bahawa saya tidak menyebut "supik gelenya" tetapi menggelarkan plastik tersebut sebagai "jabe rokrak". Pensyarah kami kelihatan pelik dan sedikit ketawa serta beliau cuba menyebut perkataan itu walaupun kedengaran agak lucu. Sebenarnya, pada zaman sekarang, tidak ramai yang meyebut perkataan itu kerana kebanyakan perkataan itu hanya meniti di bibir masyarakat Melayu lama di Kelantan. Saya sendiri juga memanggil palstik. 
plastik: supik gelenya, jabe rokrak

Komennya:
Sangat seronok jika kita dapat belajar sesuatu yang baru daripada dialek-dialek yang terdapat di Malaysia. Hal ini demikian kerana kita akan dapat menambah kosa kata yang terdapat dala kotak kamus kita. Dialek Kelantan juga kaya dengan semantik yang mempunyai satu nama tetapi banyak nama. 

Contohnya: 
tendang:  sepak, jek, tendang, enja 
tumbuk: tumbuk, timbuk
gaduh: gocoh, lawe, baloh
koyak: soyok, koyok, carik, seyek
gatal (sifat) : gelenya, gatal, garik, geletah

Kemudian, selepas tamat kelas Sosiolinguistik Bahasa Melayu, kami terus menuju ke kelas Karya Agung Melayu pula. Kelas ini diajar oleh Prof. Emeritus Abdullah Hassan. Beliau juga seorang pensyarah yang selamba tetapi penuh dengan ilmu pengetahuan. Pada awal kelas lagi beliau mendengar seseorang bertutur dalam dialek Terengganu tetapi disangkanya dialek Kelantan. Lantas dengan itu, beliau menasihati kami supaya cuba bertutur dalam bahasa Melayu standard kerana bahasa Melayu merupakan bahasa perantaraan kita di Malaysia. 

Komennya: Pengajaran buat masyarakat Kelantan. Cubalah bertutur dalam bahasa Melayu standard dalam konteks formal.

Selasa, 25 Januari 2011

DIALEK BERBEZA

Assalamualaikum semua...

Kali ini saya ingin bercerita tentang dialek-dialek yang terdapat di negara kita. Seperti yang kita telah sedia maklum, negara kita mempunyai pelbagai dialek yang unik mengikut negeri serta kedudukan geografi sesebuah tempat. Antara dialek yang cukup terkenal dalam kalangan kita adalah seperti dialek Kelantan, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang. Manakala dialek negeri Johor, Melaka dan Selangor tidak mempunyai banyak beza dan jika dilihat dengan mata kasar, ia langsung tidak menampakkan sebarang perbezaan. 

Hendak dijadikan cerita, saya sekarang menetap di Taman Bahtera Terrace Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Saya tinggal bersama rakan serumah yang berasal dari pelbagai negeri seperti Kelantan (tiga orang), Terengganu (seorang), Perlis (seorang), Pahang (seorang), Johor (seorang), Perak (dua orang) dan Kedah (dua orang). Ketika sedang menjamu selera, kami makan beramai-ramai dan apa yang paling menarik kami akan berbual dan berbicara menggunakan dialek negeri masing-masing. Kami semua tidak mengalami kesukaran dalam memahami ayat tersebut kerana ia lebih mudah difahami jika kita tahu konteksnya. Perbualan kami menjadi lebih menarik dengan adanya variasi dialek ini dan secara tidak langsung kami dapat mempelajari dialek masing-masing. 

Antara perkataan dari dialek Kedah yang menjadi ingatan tetap di kotak minda saya ialah "kopek". Hal ini demikian kerana dalam dialek Kedah perkataan "kopek" membawa maksud beg duit atau dompet tetapi dalam dialek Kelantan, perkataan tersebut membawa maksud payudara. Hal ini berbeza pula dengan bahasa Melayu standard kerana perkataan "kopek" akan mendukung makna mengupas sesuatu seperti mengupas kulit buah. Jadi, jika kita lihat di sini daripada satu perkataan kita dapat menjadikan ia pelbagai makna jika dilihat dari sudut semantik berdasarkan dialek negeri. 

Bagi saya, tidak rugi untuk seseorang itu belajar dialek daripada kawan-kawan yang berasal dari negeri yang berbeza kerana hal ini akan membuatkan kita kaya dengan kosa kata yang pelbagai. Di samping itu ia akan memudahkan lagi hubungan interaksi kita dan melancarkan lagi proses komunikasi kita bersama kawan-kawan yang berbeza negeri dan dialek. Jadi, belajarlah dialek-dialek yang terdapat di Malaysia. Walaupun sukar tapi tanpa keberanian mimpi tidak akan bermakna. =D 



Sabtu, 22 Januari 2011

BELAJARKAH?

 Assalamualaikum semua....


Petang tadi saya telah pergi ke pasar malam bersama kawan-kawan serumah saya. Pasar malam tersebut terletak di pekan Tanjong Malim. Saya bergerak menuju ke sana pada jam 6.30 petang. Kedai pertama yang saya kunjungi ketika itu ialah kedai Kak Nor. Kak Nor merupakan seorang pengusaha tudung. Terdapat pelbagai jenis tudung yang dijualnya.

Kemudian, kami menuju pula ke kedai yang menjual ikan. Setelah puas memilih akhirnya kami hanya memilih ikan kembong satu kilogram. Kemudian kami singgah ke kedai yang menjual buah-buahan dan kek. Manakala kedai terakhir yang kami kunjungi ialah kedai abang yang jual sayur-mayur. Terdapat pelbagai jenis sayur yang dia jual. Saya memang suka memborong sayur di kedai abang tersebut. Selain harganya yang berpatutan, abang tersebut juga melayan karenah pelanggannya dengan baik dan bersopan-santun. Apa yang menarik minat saya, ketika sedang khusyuk memilih sayur, datanglah seorang pelanggan yang berbangsa India. Dia berdiri di sebelah saya. Kemudian datang lagi pelanggan berbangsa Cina. Tapi apa yang memeranjatkan saya abang tersebut mampu dan berkebolehan bertutur dalam bahasa Cina dan Tamil dengan baik.

Jadi, pada pendapat saya, seseorang itu mampu untuk bertutur dalam pelbagai bahasa jika dia benar-benar ingin belajar dan tidak mudah putus asa. Dalam dunia perniagaan pula, ia akan memudahkan kita untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan masyarakat pelbagai budaya dan bangsa dan ini sekaligus akan mengeratkan lagi sesebuah perhubungan dalam sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk.

YANG BAIK JADIKAN TELADAN, YANG BURUK JADIKAN SEMPADAN

Assalamualaikum w.b.t


Saya baru sahaja selesai menonton cerekarama TV3 yang bertajuk 'Iqra'. Drama yang berlangsung selama dua jam ini dijayakan oleh Eman Manan sebagai tunjang utama, Jasmin Hamid sebagai isterinya dan beberapa lagi pelakon yang berkaliber. Apa yang menarik tentang filem ini ialah mengenai pengajaran dan nilai-nilai murni yang ingin diketengahkan oleh pengarang. Terdapat salah satu adegan dalam drama ini yang menarik minat saya untuk dibawa ke pena penulisan saya iaitu apabila watak utama iaitu Eman Manan telah menghina seorang alim ulama apabila alim ulama itu menyuruhnya membaca kitab suci al-Quran.

"Eh orang tua, kau berambus sekarang! Berambus! Kau tak payah nak suruh aku baca al-Quranlah..baik kau berambus sebelum aku sepak kau!!

Sikap biadab ini jelas diperlihatkan apabila Eman Manan menggunakan bahasa yang sungguh kasar terhadap alim ulama yang sudah tua. Sepatutnya dalam hal ini Eman Manan cuba bercakap dengan baik kerana orang tua tersebut mengajaknya untuk berjalan ke arah lorong yang diredhai Allah S.W.T. Namun, demi untuk menunjukkan realiti sebenar kehidupan masyarakat kita yang terpesong akidahnya, pengarah sengaja meletakkan adegan tersebut agar ianya dapat dijadikan iktibar kepada kita semua.

Begitu juga dengan adegan anak perempuan Eman Manan yang telah menengking ibunya yang menghalang dia untuk berjumpa dengan lelaki yang telah mengandungkannya. Anaknya telah menengking ibunya dan mengatakan bahawa ini bukan urusan ibunya. Sikap biadap ini amat dilarang dalam Islam. Begitu juga jika dilihat dari sudut kehidupan Melayu kita, sikap ini amat bertentangan dengan adat dan budaya hidup kita sebagai orang Melayu. Seorang ibu seharusnya dihormati dan disayangi. Dan anak perempuannya tersebut haruslah menjaga adat dan tertib sebagai perempuan Melayu dan menghormati ibunya dengan bercakap secara lembut dan sopan serta menggunakan bahasa yang baik-baik.

Sebagai anak, kita seharusnya melayan kehendak dan keinginan ibu bapa kita dengan baik. Kita tidak boleh menderhaka kepada orang tua kita walaupun dengan perkataan "ah". Syurga kita terletak di bawah telapak kaki ibu kita, tidak kira bagaimana sekalipun ibu kita itu. Renung-renungkanlah.

Khamis, 20 Januari 2011

MASALAH BAHASA

Assalamualaikum kawan-kawan semua...

Kali ini aku masih ingin menceritakan benda yang sama iaitu berkenaan bahasa. Maklumlah sebagai guru bahasa, aku menjadi semakin sensitif dengan isu-isu bahasa ini. Sebentar tadi, dalam jam 11malam aku membuka akaun laman sosial (facebook) aku.
Laman sosial Facebook

Setelah mula melayari laman sosial tersebut, aku menerjah ke ruang halaman terlebih dahulu. Setelah ruang halaman tersebut muncul di skrin komputer riba aku maka terteralah segala kata-kata yang diposkan ke laman facebook senarai kawan-kawan aku. Dam di situlah aku terlihat pos seorang teman yang terpaksa disembunyikan identitinya. Teman saya ini menggunakan perkataan yang terlalu kasar memandangkan dia merupakan seorang gadis yang sepatutnya menjaga tutur katanya.

"Macam setan jek, excellent je konon, lembab nak mamposs!!"

Aku yang ketika itu membaca pos yang dihantar ke lamannya sendiri berasa amat terkejut. Bukannya dia tidak tahu bahawa komen-komen atau pos yang dihantar ke ruang lamannya akan dibaca oleh semua pengguna laman sosial tersebut yang terdiri oleh masyarakat seluruh dunia. Hal ini juga akan menjelaskan lagi ciri-ciri atau personaliti diri kita. Seperti yang telah dinyatakan bahawa bahasa melambangkan bangsa. Jadi, sekiranya bangsa kita mengamalkan tutur bicara sebegitu maka perkara tersebut akan menjadi cerminan dan bukti siapa diri kita sebenarnya.

Dalam hal ini, teman aku tersebut perlulah bersabar. Tidak semua perkara yang kita lalui di dunia ini akan melalui jalan yang mudah. Kadangkala kita harus bersusah payah kerana kepayahan itulah yang akan membuatkan kita lebih matang dan tabah. Janganlah kita merungut di atas kesusahan yang kecil. Sedarlah bahawa kadang-kadang Tuhan mahu menguji hamba-Nya dan jika kerana perkara sekecil itupun kita sudah melatah, apatah lagi jika sesuatu yang besar berlaku kepada kita. Jadi, teman saya itu perlulah banyak bersabar dan jangan cepat melatah dan menggunakan laman sosial tersebut untuk melepaskan amarah. Fikir-fikirkan.

Rabu, 19 Januari 2011

LAGI CERITA SOSIOLINGUISTIK

Salam semua....

Tadi, saya pergi kedai char kuey tiaw yang terletak berhadapan dengan Restoran Dusun Bay. Orang kata char kuey tiaw di sana sedap tapi bagi saya biasa sahaja rasanya. Hal ini mungkin kerana saya tidak menggemarinya. Sebelum berhenti di kedai tersebut, saya terlebih dahulu pergi menjemput kawan saya yang tinggal di Taman Perumahan Awam 3. Jadi saya tidak keseorangan. Selepas menjemput kawan saya, kami singgah ke pekan sebentar kerana saya ingin memindahkan wang ke akaun butik pakaian. Setelah selesai urusan pemindahan wang tersebut, kami terus menuju ke kedai yang dimaksudkan tadi. Selepas mengambil tempat duduk yang agak strategik, kamipun mula memesan makanan dan minuman. Antara menu yang kami pesan ialah:

i) Char kuey tiaw biasa sepinggan (hanya sepinggan sebab saya tidak menggemarinya.)
ii) Milo ais mountain
iii) Teh ais
Dipendekkan cerita, setelah selesai makan dan minum, kawan saya  ingin menelefon ibunya di kampung untuk memaklumkan bahawa duit pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah masuk ke akaunnya. Sedar tidak sedar perbualan tersebut mengambil masa yang agak panjang. Jadi sepanjang perbualan kawan dan ibunya itu, saya hanya mendiamkan diri dan memerhatikan gelagat pelanggan di restoran tersebut. Hampir setiap genap penjuru saya perhatikan dan akhirnya pandangan saya tertumpu kepada sekumpulan pelajar perempuan yang sedang seronok berbual bersama-sama temannya.

Perempuan 1: Eh, ko nak pergi mana kejap lagi?

Perempuan 2: Pergi berak!! haha!

Perempuan 3: Nape tak jawab je pergi mampos, kang senang jek...boleh tanam terus! haha!

Perempuan 1: A'ah aku sokong...jawab bodoh jek..aku serius sengal!

Perempuan 2: Bodoh ko ni!!!

Daripada apa yang saya lihat, saya dapati bahasa yang mereka gunakan agak kasar. Mungkin perbualan sebegini sudah menjadi kebiasaan pada mereka tetapi bagi sesetengah individu yang sensitif, mereka mungkin akan menyatakan bahawa situasi tersebut sesuatu yang sensitif dan boleh membawa kepada keruntuhan budi bahasa. Tambahan pula, pelajar tersebut adalah berjantina perempuan dan berbangsa Melayu. Jadi, sebagai perempuan Melayu kita haruslah menjaga budi bahasa dan tatasusila kita yang penuh dengan adab sopan serta berbicara menggunakan tutur kata yang halus dan lembut.

Bukan susah untuk menjaga budi bahasa. Hanya terpulang kepada diri kita hendak mencorakkan perbualan kita. Jika kita sudah terbiasa dengan perkara tersebut, tidak mustahil cara perbualan tersebut akan terus menjadi tabiat kita dan ini sekaligus akan mencemar dan menjatuhkan maruah kita sebagai gadis Melayu.

Sebagai gadis Melayu yang juga pelajar pendidikan, kita cuba dan berusahalah untuk berubah ke arah yang lebih positif. Kita seharusnya cuba untuk mengubah cara perbualan kita agar tidak menggunakan perkataan-perkataan yang tidak senonoh dan sensitif. Hal ini demikian kerana setiap kata yang meniti di bibir kita akan melambangkan diri kita. Jika baik maka baiklah jadinya. Jika buruk maka buruklah jadinya. Renung-renungkan.

Isnin, 17 Januari 2011

KENAPA SUSAH UNTUK BERBUDI BAHASA?

Begini ceritanya, pagi semalam selepas saya balik dari bersenam, saya dan kawan saya bercadang untu ke Kuala Lumpur. Selepas menghubungi kawan yang tinggal di Pantai Dalam, kami berjanji untuk berjumpa di Mid Valley. Kawan saya menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) mengatakan dia menunggu kami di KFC.
Kami bertolak ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas transnasional pada jam 12 tengah hari. tepat jam 1.30 petang kami telah sampai di hadapan stesen LRT Pasar Seni.
Kemudian kami menaiki LRT sehingga ke Stesen Universiti.
Selepas itu, kami mengambil inisiatif untuk menaiki bas Rapid KL untuk ke Mid Valley Megamall.
 Dalam perjalanan yang hanya mengambil masa beberapa minit sahaja, kamipun sampai di Mid Valley Megamall. Bayaran untuk tambang bas tadi RM1. Sekarang saya betul-betul berada di hadapan Mid Valley, cuma perlu melangkah sedikit sahaja lagi untul masuk ke dalam.
Mid Valley Megamall memang terkenal di Kuala Lumpur. Kalau hujung minggu tempat ini memang sesak dengan orang ramai.Maklumlah hujung minggu sahajalah masa untuk mereka berjalan-jalan dan membeli-belah. Saya dan kawan saya pula masih teruskan perjalanan menuju ke KFC yang terdapat dalam Mid Valley. Kami sudah sampai di KFC. Azla dan Linie senang asyik menunggu.
Selepas mengambil tempat duduk, kamipun pergi ke kaunter untuk memesan makanan. Saya pesan "Celebration Combo A". Dapat gelas KFC percuma, gelas itu cantik sangat. Saya suka!
Selepas habis makan, kami menuju ke MPH Bookstore.
Kawan saya teringin hendak beli novel terbaru. "Antara Benci dan Rindu", tapi sayang novel itu sudah laris dijual. Alamatnya kenalah tunggu cetakan seterusnya. Saya yang sedang asyik membelek-belek novel akhirnya telah terjerat dengan empat buah novel. Nampak gayanya melayanglah duit saya RM80. Antara novel yang baru sahaja dimiliki dari MPH Bookstore ini ialah:

Setelah menghabiskan duit di sana kami menuju pula ke "Golden Screen Cinema". Ini merupakan tujuan kedua kami datang ke Kuala Lumpur. Wah, ramai pula orang yang ingin tengok wayang hari ini! Hari minggu, biasalah!
Kami datang untuk menonton wayang cerita "KHURAFAT: Perjanjian Syaitan". Bunyinya macam ngeri tapi ceritanya memang seronok. Banyak pengajaran yang boleh diambil dalam filem ini. Tahniah kepada Shamsul Yusof!
Situasi:

Bermulalah cerita di dalam panggung. Kami telah mengambil tempat masing-masing sebelum wayang ditayang. sedang asyik melihat tayangan iklan di papan skrin panggung, tiba-tiba datang seorang lelaki dewasa Cina menerpa dan memarahi saya. Semuanya gara-gara dia tuduh saya mengambil tempat duduk dia. Saya yang terpinga-pinga ketika itu agak terkejut kerana setahu saya tempat itu memang tempat saya. Saya menjadi tidak tentu arah. Tidak berani hendak melawan lelaki Cina itu. Malu!! Semua mata memandang kami. Saya cepat-cepat mengambil inisiatif dengan meminta tiket dari kawan saya. Sah!! Ini memang tempat duduk saya. Lelaki Cina itu yang salah masuk panggung. Dia bukan main lagi memarahi dan menengking saya tetapi dia juga yang salah. Tidak bolehkan dia berbudi bahasa?? Tengoklah akhirnya dia sendiri yang terkena buah keras. 

Ini adalah antara perbualan saya, kawan dan lelaki Cina tersebut:

Lelaki Cina: helo, lu sudah duduk tempat saya ah.

Saya: Aik?? Bila pulak? Ini memang tempat saya. (Orang di sebelah, belakang dan depan sudah mula tengok drama kami. Malu!)

Kawan saya: Ini memang tempat kami.

Lelaki Cina: Ini tempat sayalah! Tengok, saya sudah beli ini tiket. Memang tempat duduknya 12. Kamu yang salah. (Dia mula marah dan tunjuk tiketnya pada aku. Aku pula makin gelabah.) Mana lu punya tiket. Bagi saya tengok!!

Saya: Yati, mana tiket kita. (Kawan saya nagi tiket tersebut pada saya dan kerana panggung sudah ditutup lampu, saya terpaksa menggunakan cahaya telefon bimbit untuk melihantnya. Tetapi, tiba-tiba lelaki Cina itu ingin merampas tiket itu dari tangan saya secara kasar.) Ish, apa ni? Biarla saya tengok dulu.
Lelaki Cina: Bak sini saya tengok tiket lu!! (Arahnya sambil marah-marah dengan muka tidak puas hati dan bersuara tinggi. Sah satu panggung boleh dengar.) 

Kawan saya: Tempat kami dah betul, encik.

Lelaki Cina: Aiyaaaa....ini tiket apa pasal boleh sama. Lu tengok ini tiket saya, takkan sama. (sambil tunjuk tiket dia.)
Sah!! Dia salah!!

Kawan saya: Encik, ni panggung 12. Encik punya 13. Encik dah salah masuk panggung. Ni untuk tayangan filem KHURAFAT. (Saja ditekankan perkataan Khurafat)

Lelaki Cina: (mula malu) Iyaka??

Tanpa minta maaf, lelaki Cina itu terus berlalu pergi. Patut ke?

Komen: Sepatutnya dalam hal ini, lelaki Cina itu perlu bertanya secara lembut dan tidak menuduh saya secara membabi buta. Hal ini demikian kerana kita belum lagi mengetahui pihak mana yang betul. Dia sepatutnya menggunakan bahasa yang lembut dan bersopan-santun dan bukannya menengking saya seolah-olah saya ini seperti penjenayah yang paling dikehendaki polis.Susah ke hendak berbudi bahasa walaupun kita berlainan bangsa?
Tambahan pula, selepas disahkan dia bersalah, dia langsung tidak memohon maaf kepada kami, khususnya saya. Malah dia hanya pergi tanpa berkata apa-apa seolah-olah tiada apa yang berlaku. Susah sangat ke untuk mengucapkan kata maaf sedangkan sudah terang lagi bersuluh bahawa dia memang bersalah?
Inilah ragam manusia. Saya sangat kesal atas apa yang terjadi. Saya berharap cerita ini menjadi iktibar kepada orang lain. Jangan kita perlakukan orang sebegini rupa jika kita tidak diperlakukan sebegini hina.
Sedarlah, bahasa melambangkan jiwa bangsa.

Selasa, 11 Januari 2011

BAHASA DAN MASYARAKAT

Hai semua..bagaimana saya hendak mulakannya? Tadi saya sedang berborak dengan kawan-kawan berkenaan tugasan subjek pendidikan. Kami berbeza kos, jadi pensyarahnya tentulah berbeza. sedang kami rancak berbual, dia menyatakan rasa tidak puas hatinya kepada pensyarah tersebut. Saya yang ketika itu sedang tekun mendengarnya menjadi terkejut. Kata-katanya berbunyi begini:

Kawan: Ore mitok nak tukar group tapi gak maso ore mitok tukar lecturer tu oyak awak nok tukar sebab awok kene bete yang pertamo ke?

Saya: pahtu tokleh tukarla?

Kawan:toklehla..nate sungguh lecturer.

Saya: tok baik. (tergamam dan hanya mampu tersengih dan menjawab sepatah)

Sepatutnya dalam situasi tersebut, kita tidak boleh menyalahkan pensyarah dan kita juga tidak perlu menyumpah pensyarah tersebut. Perkataan "nate" dalam dialek Kelantan bermaksud binatang. Jadi, perkataan tersebut amat kasar untuk ditujukan kepada orang yang memberikan kita ilmu pengetahuan. Mungkin ada sebab-sebab tertentu yang membuatkan pensyarah tersebut tidak membenarkan kawan saya tukar kumpulan. Hal ini demikian kerana akan menyukarkan pihak atasan dalam soal pengurusan. Jadi, sebagai pelajar kita harus memahami dan bukannya memprotes setiap apa yang berlaku. Pensyarah adalah insan mulia yang harus dihormati. Andai kata kita terlalu marah, apa kata kalau kita tukar kata-kata kita kepada:

"Aku tok puah atila nga lecturer tu tapi gak nok wat ghano mugo dio lebeh besa tu gak"

Ayat tersebut membawa pengertian bahawa kita harus bersabar dan redha dengan apa yang telah ditetapkan oleh pensyarah dan menganggap pensyarah sebagai orang yang lebih besar dan berkuasa berbanding diri kita. Walaupun kita ingin meluahkan rasa tidak puas hati, biarlah ayat tersebut ditapis terlebih dahulu. Jadi sikap dan persepsi negatif itu akan hilang dan hati kita akan menjadi lebih tenang.

Khamis, 6 Januari 2011

Saya Budak Baru Belajar

Assalamualaikum semua

Salam perkenalan dari saya (Cik Ungu Violet). Saya budak baru belajar jadi kalau ada apa-apa salah tolonglah tunjukkan. =P

Hari nie, Dr Saniah minta kami untuk buat blog sendiri. Pada mulanya terasa macam susah sebab saya memang  tidak menggemari dan tidak pernah mencuba untuk membuka akaun blog. Agak bosan sebab kita perlu selalu mengemaskini blog kita.

Tapi pensyarah kami kata kami per;u;ahlah membuka mata, celik IT dan aplikasikannya dalam kehidupan kami. Jadi, setelah berfikir beratus kali, saya rasa apa yang dikatakan oleh pensyarah saya memang benar. Bertitik tolak dari saat itulah maka terhasilnya blog yg tidak seberapa ini. Bak kata orang profesional, blog ala-ala budak tadika yang baru hendak belajar. Memang memalukan! Umur sudah makin menginjak ke 23 tahun tapi tentang blog pun masih tidak dapat kuasai. Insyaallah saya akan belajar dengan gigih untuk buat blog yang terbaik. Saya akan cuba. Harap semua dapat bagi galakan pada saya ya?

wassalam =D