BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Selamat datang ke blog saya.... =D


Selasa, 26 Julai 2011

yo yo kembali lagi =D

setelah lama menyepikan diri, kini QUV kembali lagi ~ sekarang dapat nak menulis lagi sebab busy ngan praktikal . keje sangat-sangat banyak ~ sentiasa menanti dan takkan sudah sampai hujung bulan Ogos ~ argghh xsabar nak menunggu saat itu...yeah! tp touchingla plak nak tinggalkan anak-anak aku nnt...sayang doe...~
opss xnak da melalut ~ banyak keje menanti ~ nak siapkan RPH sebab esok guru pembimbing nak masuk selia ~ preparation ala-ala kadar je kot ~ huhu! =P
daaaa ~~

Jumaat, 18 Mac 2011

BAHASA MESEJ

Bahasa mesej? Adakah bahasa mesej boleh dikaitkan dengan bahasa rojak? Jawapannya adalah 'ya'. Hal ini demikian kerana bahasa yang sering kita gunakan untuk menaip mesej di telefon bimbit adalah berbentuk rojak. Hal ini kerana kita sering mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris di samping bahasa-bahasa lain serta sering menggunakan singkatan perkataan hasil rekaan kita sendiri. Contohnya: 

"U ngah watpe? U at ner?"
"Ku malaz nak tubek..byk keje nak wat. Kalo xsiap t kene tibai sama lect."

Akibat daripada penyalahgunaan bahasa tersebutlah, perkembangan bahasa Melayu kita kian merosot. Kadang-kadang saya terkejut apabila ada orang Melayu yang berbangsa Melayu dan lahir di bumi Melayu tidak dapat mengeja perkataan bahasa Melayu dengan betul sedangkan dia boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik. Hal ini jelas kita dapat rumuskan bahawa dia masih tidak dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik walaupun bahasa itu adalah bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara kita. Kadang-kadang timbul juga rasa sedih dan simpati kepada golongan ini. Padahal kita telah didedahkan dengan bahasa ini secara tidak formal sejak kita mula-mula boleh bertutur lagi dan setelah itu kita memperoleh ilmu bahasa Melayu secara formal sejak kita berada di tadika sehinggalah ke tingkatan lima, enam dan seterusnya di Institut Pengajian Tinggi (IPT). Saya hairan mengapa golongan ini masih tidak mampu untuk menguasai bahasa sendiri sedangkan pelbagai pendedahan telah diberikan. 

Sebolehnya selepas ini, marilah kita menggunakan bahasa Melayu yang betul sama ada dalam lisan mahupun tulisan. Hal ini akan membantu kita dalam menguasai bahasa kita dengan lebih mudah dan berkesan tanpa mengalami kesulitan lagi.

Raja Lawak musim kelima

Hari ini merupakan hari terakhir untuk peserta-peserta rancangan Raja Lawak musim kelima beraksi di atas gelanggang dan pentas raja lawak. Malam ini akan menjadi penentu untuk persembahan-persembahan yang pernah dilakukan oleh mereka. Siapakah yang akan merangkul tempat sebagai juara? Adakah R2, Man atau Balas?
Namun bukan itu yang ingin saya utarakan tetapi apa yang ingin saya katakan adalah berkenaan lawak-lawak yang pernah digunakan oleh mereka yang pernah bergelar sebagai peserta Raja Lawak. Bercerita mengenai pengalaman saya selama menjadi penonton setia rancangan Raja Lawak Astro, banyak adegan atau slot persembahan peserta-peserta rancangan ini yang menggunakan perkataan-perkataan yang berkonotatif lucah. Bukan sesekali perkara ini berlaku tetapi kerap sekali. Persoalannya, adakah tiada isu lain yang boleh digunakan untuk berlawak? Adakah hanya itu idea yang mereka ada untuk membuatkan penonton ketawa? 

Kadang-kadang saya merasakan terlalu jijik dan malu semasa menonton rancangan ini bersama orang yang berlainan jantina, terutamanya kekasih saya. Di rumah pula iaitu ketika musim cuti semester, saya akan menonton rancangan ini bersama keluarga saya. Kadang-kadang timbul rasa malu sekiranya ayah saya juga turut bersama menyertai rancangan ini. Hal yang selalu disentuh oleh peserta raja lawak ialah berkenaan kemaluan lelaki yang selalu dilambangkan dengan telur, bola, guli, burung dan sebagainya.

Pengacara rancangan Raja Lawak Astro
Cadangan saya ialah agar pihak Astro dapat menapis dahulu bahan-bahan lawak yang ingin dipersembahkan oleh peserta agar sensitiviti sesetengah masyarakat dapat dielakkan. Jangan fikir hanya hendak melawak dan membuatkan penonton ketawa sahaja tanpa memikirkan kesan-kesan yang mungkin timbul di kemudian hari kelak.

KEDAI 'SAYANG'

Cerita ini berlaku pada tengah hari tadi ketika aku dan kawan aku pergi makan di sebuah kedai yang terletak di Bahtera Arked iaitu berhadapan Kolej Harun Aminurrashid (KHAR). Setelah penat mengelilingi deretan bangunan kedai tersebut, aku memilih untuk makan di Restoran Azizan.

Setelah memilih makanan yang kami mahu, kami mencari tempat yang sesuai untuk menjamu selera. Selepas tiga puluh minit kemudian, kami selesai makan dan berkira-kira untuk membayar wang di kaunter. Sementara menunggu penjaga kaunter tersebut mengira harga makanan orang lain, aku memerhatikan keadaan sekeliling. Di sini memang ramai pelanggan. Pelanggan tetap dan pelanggan baru. Selepas penjaga kaunter tersebut selesai mengira harga makanan pelanggan sebelumnya, aku pun bertanyakan harga makanan aku dengan memberitahunya apa yang aku makan. Sebelum itu, penjaga kaunter tersebut memohon maaf kerana lambat dan terpaksa mencuri masa aku. baik sungguh bahasanya. Kemudian, aku menyenaraikan apa yang telah aku makan:

"Saya minum teh ais dan sirap limau. Makan pulak ayam goreng, ayam kicap, sayur pucuk paku dan hati ayam."

Sambil menekan kalkulatornya, dia memberitahu setiap harga makanan aku dan setelah membayarnya, dia menegur aku:

"Terima kasih sayang, maaf lambat tadi ye."

Aku terkejut namun aku tidak pula menunjukkan reaksi aku secara terang-terangan kerana sebelum ini aku pernah mendengar cerita tentang penjaga kaunter terbabit yang suka memanggil kesemua pelanggannya dengan nama "sayang"

Industri Perfileman Zaman Sekarang ='(

Saya begitu sedih dan kesal apabila melihat industri perfileman negara zaman sekarang. Setiap cerita atau filem yang hendak dibentuk mesti terdapat unsur-unsur tahyul dan seks ringan-ringan. Persoalannya, perlu ke adegan tersebut dimasukkan? Wajarkan untuk ditonton oleh semua lapisan masyarakat? Adakah itu aset yang digunakan untuk melariskan cerita? 
Saban hari juga kita lihat semakin ramai artis-artis wanita yang mendedahkan tubuh mereka buat santapan umum. Kadang-kadang saya merasakan diri saya bukan berada di Malaysia tetapi di negara-negara Barat. Kerajaan sibuk menyekat artis Hollywood supaya berpakaian sopan tetapi anak tempatan sendiri seperti tidak cukup kain, buka sana buka sini.

 
Adegan seksi dalam filem 'Mantra'
Selain itu, terdapat juga adegan-adegan seksi dalam filem yang tidak sepatutnya ditayangkan kerana cerita tersebut pastinya akan ditonton oleh semua lapisan masyarakat, bermula dari kanak-kanak hinggalah kepada yang dewasa. Lihatlah betapa ceteknya ilmu agama yang ada pada diri sehingga sanggup melakonkan watak yang memerlukannya berkemban dan mendedahkan tubuhnya buat tatapan umum.
 Selain itu terdapat juga penggunaan bahasa yang kasar seperti yang terdapat dalam cerita 'Bohsia: Jalan Pilih Jalan Hitam'. Saya tahu pengarah sebenarnya cuba untuk menggambarkan situasi dan keadaan sebenar seorang mat rempit tetapi pengarah juga perlu untuk memikirkan siapa sasaran mereka dan kepada siapa filem ini akan dijual dan dipertontonkan. Contohnya dalam filem V3 Samseng Jalanan, Bohsia: Jalan Pilih Jalan Hitam dan sebagainya. Kebanyakan dialog yang dibentuk agak kasar dan menggunakan perkataan seperti mencarut.

Khamis, 17 Mac 2011

Rukun Negara - Kesopanan dan Kesusilaan



Selamat pagi semua...
Hari ini saya ingin berkongsi satu cerita berkenaan ikrar Rukun Negara kita yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan. Kita sedia maklum bahawa ikrar tersebut mengajak kita supaya sentiasa bersopan-santun tidak kira di dalam perbuatan atau percakapan. Sebagai masyarakat Timur, kita tentulah sudah diasuh untuk sentiasa berlemah-lembut dan menjaga kesopanan kita agar tidak dipandang enteng oleh masyarakat lain. 
Berkenaan ikrar tersebut juga, saya mempunyai satu cerita berkenaan sesuatu yang pernah saya alami. Pertama, situasi ini berlaku di rumah saya. Rumah sewa yang saya diami ini dihuni juga oleh pelajar junior. Perbezaan umur di antara kami ini membuatkan mereka menjadi lebih hormat kepada saya dan kawan-kawan yang lain. Setiap tutur kata yang dikeluarkan sentiasa kelihatan sopan dan mereka membahasakan diri saya sebagai 'kakak' dan mereka tidak pernah meninggikan suara kepada saya. Malah, dalam pelbagai hal yang berkaitan rumah, kami sentiasa menjadi rujukan mereka dan ini dapat dilihat bahawa mereka lebih mengutamakan yang lebih dewasa. Perihal kesopanan ini jelas dilihat dalam diri mereka. 
Tetapi berbeza pula dengan seorang rakan saya yang sebaya juga dengan saya. Apabila berlaku perselisihan faham, dia selalu menggunakan perkataan-perkataan yang kesat dan tidak sopan seolah-seolah perkataan tersebut sudah terbiasa meniti dibibirnya. Hal ini ditambahkan lagi apabila dia suka mengepos sesuatu yang dia rasakan tidak di matanya di laman sosial. Hal ini menampakkan dirinya yang cepat melatah dan tidak rasional. Di laman sosialnya juga kita dapat lihat setiap bentuk dan jenis penulisannya yang agak teruk dan kasar dari segi bahasanya.Sepatutnya kita tidak boleh menjadikan laman sosial sebagai tempat untuk kita melepaskan amarah kita. Kita tentunya sudah sedia maklum bahawa laman sosial milik kita itu akan menjadi santapan pemilik-pemilik laman sosial yang lain. Jadi, fikir-fikirkanlah...

Isnin, 14 Mac 2011

Bahasa Lagi


Situasi:
Kami sekumpulan ditugaskan untuk membuat kajian penyerapan modal insan di mana-mana institusi dan kami telah memilih institusi Pemurnian Akidah di Baitul Ehsan, Sabak Bernam. Sebelum bergerak ke sana, kami berkumpul di hadapan Kolej Harun Aminurrashid (KHAR). Semasa berkumpul, kami asyik menikmati keindahan alam dan melihat pelbagai jenis burung yang unik dan cantik. Terdapat juga sejenis burung yang saya tidak pernah tengok secara langsung selama ini dapat dilihat di situ. Burung yang dimaksudkan ialah burung enggang. Semasa sedang menikmati keindahan makhluk tuhan itu, saya terdengar salah seorang kawan saya menyebut:
            “Wah, ramainya burung tu…ada lima semua. Ramainya….”

Saya dengan spontan menegurnya,
            “***, bukan ramaila…banyak!”
Tetapi mungkin kawan saya itu tidak perasan dengan teguran saya kerana terlalu asyik melihat burung-burung yang unik itu berterbangan. Sementara kawan-kawan lain yang mendengar teguran saya itu gelak kecil kerana mereka tidak pernah mendengar individu yang menggunakan perkataan ramai untuk binatang.
Cantiknya makhluk ciptaan tuhan
Pendapat:
Bagi saya yang telah biasa mendengar perkara itu berulang kali menganggapnya perkara biasa dan tidak lagi asing di telinga saya. Tapi kalau boleh biarlah kata bilangan yang digunakan sesuai dengan apa yang ingin disampaikan. Contohnya, jika ingin memberikan kata bilangan kepada burung, gunakanlah perkataan banyak dan ramai untuk manusia.

BUDAYA BERTERIMA KASIH


SITUASI:
Budaya berterima kasih amat penting untuk diamalkan dalam kehidupan kita seharian. Kita haruslah menerapkan budaya ini dalam pelbagai situasi dan keadaan yang kita alami, terutamanya ketika kita menerima pertolongan dan bantuan daripada pihak tersebut. Sebagai tanda utnuk menghargai niat baiknya itu yang telah menolong, kita haruslah mengucapkan terima kasih. 
Saya pernah mengalami satu keadaan yang agak malang dalam hidup saya. Kejadian ini berlaku sekitar lima tahun lalu di mana saya telah menolong seseorang yang sangat memerlukan pertolongan. Dia telah merayu kepada saya agar menolongnya dan kerana bersimpati dengan keadaannya yang naïf, saya akhirnya menghulurkan pertolongan. Tetapi apa yang membuatkan saya terkilan, dia langsung tidak mengucapkan terima kasih kepada saya dan menghiraukan saya setelah saya menolongnya. Bukanlah niat saya untuk dia membalasnya tetapi cukuplah sekadar dengan ucapan terima kasih.
BUAH FIKIRAN:
Beginilah budaya dan adab masyarakat Melayu yang kian luntur. Mereka hanya mengenal kita di saat mereka memerlukan pertolonga  daripada kita dan akan meninggalkan kita setelah mereka memperoleh kesenangan. Dalam hal ini, kita seharusnya berterima kasih kepada orang yang telah menghulurkan pertolongan kepada kita sebagai tanda kita menghargai pertolongan yang diberikan olehnya. Sikap yang kurang sopan dan tidak beradab itu hanya akan menimbulkan persepsi negatif terhadap diri kita.  


BUDAYA MEMBERI SALAM


SITUASI:
Budaya memberi salam merupakan satu budaya yang sangat dituntut dalam kehidupan kita yang hidup bermasyarakat. Hal ini demikian kerana, melalui bidaya ini secara tidak langsung akan dapat mengeratkan lagi tali silaturrahim di antara setiap individu.
Bila bercerita mengenai budaya memberi salam ini, saya mula teringat sewaktu kunjungan saya ke rumah saudara kawan saya. Saudara kepada kawan saya ini telah berkahwin dan dikurniakan seorang anak perempuan yang sangat comel yang kini berusia tiga tahun. Apa yang membuatkan saya teruja, kanak-kanak sekecil itu telah diajar memberikan salam dan bersalam serta mencium tangan tetamu yang datang berkunjung ke rumahnya. Jadi, kita dapat lihat bahawa didikan ibu bapa amat penting bagi membentuk anak-anak yang bermoral tinggi.
Budaya memberi salam dan bersalam amat penting dalam kehidupan kita

BUAH FIKIRAN:
‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Itulah perumpaan yang dapat saya berikan berdasarkan situasi yang saya alami ketika itu. Didikan awal yang duberikan oleh ibu bapa kepada anak-anaknya perlu dititikberatkan. Hal ini tidak bermakna budaya ini hanya tertumpu kepada kanak-kanak sahaja tetapi sebagai oarng yang lebih dewasa, kita perlulah menerapkan budaya tersebut dalam diri kita dan sentiasa mengamalkannya walau di mana kita berada.

SULALATUS SALATIN


SITUASI:
Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu merupakan sebuah novel Melayu yang dijadikan teks wajib dan diajarkan kepada pelajar tingkatan enam. Setiap bab dan kandungan dalam karya ini telah ditulis dengan menggunakan bahasa Sanskrit ataupun bahasa Melayu Lama. Jadi, untuk memahami setiap jalan cerita yang terdapat di dalam novel ini tentu akan mengalami kesukaran. Bagi, pelajar tingkatan enam, masalah tersebut mungkin boleh diatasi dengan mudah kerana proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas diadakan di bawah bimbingan guru. Jadi, guru boleh menjadikan dirinya sebagai pemudah cara untuk memudahkan pelajar memahami bahasa tersebut.
Begitu juga sewaktu saya masih berada di tingkatan enam. Pada waktu itu, cikgu saya telah bertindak sebagai pemudah cara untuk memudahkan kami memahami jalan cerita karya tersebut, Cikgu kami telah menterjemahkan karya tersebut ke dalam bahasa Melayu Moden dan membuat sinopsis bagi setiap bab.

BUAH FIKIRAN:
Sulalatus Salatin merupakan sebuah karya agung yang wajar untuk dijadikan teks wajib bagi warganegara Malaysia untuk meningkatkan kesedaran nasional dan mengobarkan semangat cintakan tanah air dalam diri pembaca. Jadi, cadangan saya ialah sekiranya novel Sulalatus Salatin diterjemah ke dalam bahasa Melayu Moden, sudah tentu akan memudahkan pemahaman masyarakat sekarang untuk mengetahui setiap jalan cerita yang terkandung dalam novel ini.

BAHASA ISYARAT


Situasi:
Pada hari ini, saya ingin berkongsi cerita mengenai bahasa isyarat. Saya pasti ramai yang keliru untuk menentukan bahasa isyarat itu adalah sebuah bahasa ataupun tidak. Tetapi, pada hakikatnya bahasa isyarat itu juga merupakan sebuah bahasa kerana bahasa isyarat itu mengandungi makna, sistem dan kodnya yang tersendiri walaupun bahasa tersebut hanya menggunakan pergerakan tangan jari-jemari dan mimik muka. Saya juga yakin dan pasti bahawa ramai di antara kita yang sempurna dari segi fizikal tidak mampu untuk memahami bahasa isyarat. Hal ini demikian kerana kita sudah terbiasa berkomunikasi dengan golongan yang sempurna fizikal.
Tetapi berbeza pula dengan saya. Hal ini kerana saya mampu untuk berkomunikasi dengan orang kelainan upaya (bisu) menggunakan bahasa isyarat. Perkara ini berlaku kerana saya pernah tinggal sebumbung dan bekerja di bawah satu kilang dengan golongan ini. Jadi, tidak menjadi masalah untuk saya berinteraksi dengan mereka.
            Saya akui pada mulanya sememangnya agak sukar untuk saya membiasakan diri saya dengan situasi tersebut. Sebelum ini saya tidak pernah mendalami ilmu bahasa isyarat, apatah lagi mengamalkannya. Tetapi, hasil tunjuk ajar dan ilmu yang diberikan oleh mereka semua, akhirnya saya berjaya menguasai bahasa isyarat. Apa yang lebih membuatkan saya terharu ialah mereka telah menghadiahkan kepada saya sebuah buku ‘Bahasa Isyarat Malaysia’.

Buah Fikiran:
Tidak salah untuk kita mempelajari bahasa lain, khususnya bahasa isyarat. Keadaan ini akan menjadikan kita lebih fleksibel dan mampu untuk berkomunikasi dalam pelbagai cara sama ada menggunakan suara sebagai medium perantaraan ataupun menggunakan pergerakan jari-jemari. Saya pasti ramai yang seronok dan terhibur apabila mempelajari bahasa isyarat ini. Oleh sebab saya terlalu terhibur dengan bahasa ini, saya telah mengembangkan kemahiran saya dengan mempelajari lebih banyak pergerakan bahasa isyarat dengan merujuk kepada buku yang telah diberikan oleh kawan saya. selain itu, saya turut mengajarkan kepada kawan saya asas-asas pergerakan bahasa isyarat kepada kawan-kawan saya dan mereka kini juga sudah mampu untuk berkomunikasi dalam bahasa isyarat.

Jumaat, 11 Mac 2011

:: Cerita di Pasar Tani Tanjong Malim ::


Situasi:
Cerita saya kali ini berkisar di Pasar Tani di daerah Tanjong Malim. Pada satu pagi yang agak hening, saya telah ke pasar tersebut untuk membeli sayur-sayuran dan lauk untuk di masak. Hampir beberapa kali saya berjalan-jalan di kawasan pasar tersebut, akhirnya saya membuat keputusan untuk membeli sayur di kedai pakcik yang berbangsa Melayu. Ketika saya ingin membayar harga sayur tersebut, pakcik tersebut memberitahu harganya sebanyak “lapan kupang”. Pada mulanya saya agak terpinga-pinga tapi apabila cuba memahaminya barulah saya dapat mengerti bahawa kupang yang dinyatakan itu membawa maksud ‘sen’.

Buah fikiran:
Jika kita berada di geografi yang berbeza dari daerah kita, kita sepatutnya berusaha untuk memahami dialek dan loghat yang digunakan di tempat tersebut. Jadi, kita tidak akan mudah terkeliru dengan perkara yang kecil seperti yang pernah saya alami ini. Selain itu, jika kita memahami dialek mereka, masalah keberkesanan dalam proses komunikasi juga dapat dielakkan.

BAHASA MELAYU


Situasi:
Sebagai orang Melayu, saya berasa begitu berbangga kerana memiliki identiti yang tersendiri. Hal ini demikian kerana tidak semua bangsa di dunia ini memiliki bahasa dan budaya yang tersendiri. Berbeza dengan orang Melayu, mereka mempunyai bahasa dan budaya yang tersendiri. Contohnya bangsa Melayu memiliki bahasa Melayu yang boleh digunakan untuk bertutur dan mempunyai budaya tersendiri untuk diangkat dan diagungkan. Tambahan pula, pada masa dahulu bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca dan semua pedagang yang datang ke Tanah Melayu harus bertutur dalam bahasa Melayu. Begitu besar pengaruh bahasa Melayu di peringkat dunia suatu ketika dahulu. Ramai pengkaji bahasa sama ada dari barat atau timur telah mengkaji bahasa Melayu. Dan disebabkan itulah pelbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan, individu dan badan bukan kerajaan untuk memasyhurkan bahasa Melayu dan menjadikannya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara. Daripada titik-tolak itulah, bahasa Melayu akhirnya telah diiktiraf sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan Malaysia mengikut perkara 152 Perlembagaan Malaysia.
Pendapat:
Kita sepatutnya berasa bertuah dan berbangga dengan kejayaan yang dijulang oleh masyarakat kita, orang Melayu. Tanpa usaha dan tindakan bijak yang dibuat oleh mereka, mungkin bahasa Melayu telah lama tenggelam oleh bahasa penjajah.

Bahasa Jiwa Bangsa


Situasi:
Seronok bila menonton cerita Hantu Kak Limah Balik Rumah. Jalan ceritanya penuh dengan unsur humor dan boleh menghilangkan tekanan tatkala tugasan-tugasan semakin banyak yang diberikan oleh pensyarah. Dalam cerita tersebut juga, ada diselitkan dengan adegan apabila salah seorang pelakon menyatakan “Bahasa Jiwa Bangsa”. Saya cukup bersetuju dengan pernyataan tersebut kerana bahasa dapat mencerminkan siapa diri kita sebenarnya di sebalik topeng yang kita gunakan ini. Begitu juga hasrat kerajaan yang mahukan kita menggunakan bahasa yang baik dan berhemat. Dan usaha kerajaan ini diteruskan lagi dengan kempen-kempen yang diadakan apabila banyak papan tanda “Budi Bahasa Budaya Kita” yang digantung di segenap ruang sama ada di tepi lebuhraya, kedai, bangunan kerajaan, di tempat awam dan sebagainya.
                Tetapi apa yang menghairankan saya, ada juga segelintir masyarakat yang bermuka tebal dan berdegil menggunakan bahasa yang kesat dan kasar sedangkan ketika itu dia berdiri betul-betul di sebelah papan tanda tersebut. Kadang-kadang terfikir di hati saya apakah asuhan dan cara didikan keluarga juga mempengaruhi cara tutur kata kita? Ataupun rakan sebaya banyak mempengaruhi percakapan kita?

Buah Fikiran:            
Bagi kedua-dua soalan tersebut, saya berpendapat kedua-duanya mungkin mempunyai perkaitan rapat dan turut menyumbang kepada masalah dan isu tersebut. Tidak salah rasanya kita bertutur dalam bahasa yang elok dan berpekerti malah kita juga akan mendapat ganjaran daripada tuhan selain daripada disayangi oleh masyarakat dan orang sekeliling.  

Geografi Negeri


Situasi:
Besut  – Besut merupakan satu daerah yang terletak di dalam negeri Terengganu. Namun kerana faktor geografinya yang bersebelahan dengan negeri Kelantan, kesemua masyarakat Besut bertutur dalam dialek Kelantan. Tambahan pula, menurut cerita-cerita orang dahulu, Besut sebenarnya merupakan salah satu daerah kepunyaan negeri Kelantan namun kerana sikap raja Kelantan yang suka menyabung ayam dan akhirnya ayam sabungannya kalah, daerah Besut telah tergadai. Dan disebabkan faktor-faktor inilah mengapa semua masyarakat Besut bertutur dalam dialek Kelantan.

Pendapat:
Faktor geografi yang bersebelahan dengan negeri-negeri terdekat juga mempengaruhi dialek pertuturan seseorang. Begitu juga penduduk Gerik, Perak yang kebanyakannya bertutur dalam dialek Kelantan kerana geografinya bersebelahan dengan daerah Jeli, Kelantan. Begitu juga dengan penduduk daerah Kuantan, Pahang yang kebanyakannya bertutur dalam dialek Terengganu kerana kedudukan geografinya dua buah daerah ini berdekatan.

PANTUN MELAYU


Situasi:
Pantun Melayu Lama amat sinonim dengan kehidupan masyarakat Melayu. Pantun ini amat indah penciptaan dan pembentukannya. Daya cipta orang dulu-dulu tidak dapat digambarkan kerana dalam setiap pantun yang dicipta pasti menampakkan gaya keindahan yang pelbagai dan sangat menarik. Mereka akan menerapkan pelbagai unsur alam untuk memperlihatkan nilai estetik dalam karya. Pantun ini mempunyai banyak fungsi pada masa dahulu. Salah satu fungsinya adalah untuk digunakan dalam majlis merisik dan perkahwinan. Selain itu, pantun juga mempunyai banyak maksud tersurat dan tersirat atau konotatif dan denotatif. Contohnya, apabila kita tidak menyukai sesuatu perlakuan yang dilakukan oleh seseorang individu, kita boleh menyampaikan perasaan dan sikap kurang senang kita melalui pantun. Hal ini demikian kerana, ia tidak menampakkan kita marah terhadap individu terbabit kerana kita menyampaikannya secara kiasan dan tersirat. Contohnya:
                Paku dulang paku serpih,
                Mengata orang dia yang lebih.

Pendapat:
Keunikan pantun yang dicipta oleh masyarakat Melayu dahulu memang tidak dapat disangkal lagi. Tambahan pula ramai pengkaji-pengkaji Inggeris telah mengkaji pantun yang dicipta oleh orang Melayu seperti R.O. Winstedt. Pantun Melayu dapat berfungsi sebagai untuk menyampaikan perasaan,berhibur, untuk sebarang upacara majlis dan sebagainya.

PERBEZAAN DIALEK DALAM NEGERI

Situasi:
Kali ini saya begitu tertarik untuk berkongsi mengenai dialek yang terdapat di negeri Cik Siti Wan Kembang iaitu Kelantan Darul Naim. Walaupun negeri Kelantan hanya mempunyai satu dialek sahaja untuk dituturkan tetapi kita tetap dapat mengenalpasti perbezaannya apabila kita mengecam setiap perkataan yang keluar dari bibir penutur yang berbeza geografinya. Antara kawasan yang menampakkan perbezaan ialah Pasir Mas dan Pasir Puteh. Hal ini demikian kerana, terdapat sedikit sengauan perkataan yang digunakan di kawasan Pasir Mas dan Pasir Puteh. Contohnya bagi perkataan gam dan sepuluh sen.
Pendapat:
Tidak semua kawasan geografi di Kelantan menggunkan dialek yang sama secara seragam kerana bagi setiap geografi masih terdapat beberapa perbezaan sama ada secara jelas atau tidak. Kadang-kala bagi penduduk luar Kelantan, mungkin ia tidak nampak secara jelas tetapi bagi masyarakan Kelantan sendiri, mereka akan dapat merakam dan memerhatikan dengan jelas setiap perbezaan sesebuah geografi tersebut.

BAHASA PERSURATAN

Situasi:
Kali ini giliran kelas Prof. Emeritus Abdullah Hassan. Sudah biasa bagi kami untuk menggunakan bahasa Melayu standard dan baku apabila melangkah masuk ke kelasnya. Saya masih lagi mengingati nasihatnya apabila Prof. menyatakan bahawa kita sebagai pelajar bahasa Melayu, orang Melayu, bakal guru bahasa Melayu dan tuan Tanah Melayu haruslah menggunakan bahasa Melayu dengan baik. Beliau juga berpesan supaya kita berkomunikasi secara “sofisticated”. Hal ini demikian kerana, Prof. tidak mahu kita hanya ingin tampil cantik dalam berpakaian tetapi haru-biru dalam percakapan.
Pendapat:
Saya sama sekali bersetuju dengan pendapat yang diutarakan oleh Prof. Emeritus Abdullah Hassan. Hal ini demikian kerana cara kita bercakap itulah yang menggambarkan personaliti diri kita sama ada baik atau buruk. Tambahan pula, sebagai masyarakat Melayu kita telah diasuh untuk bertutur dalam laras yang sopan dan teratur agar tidak menampakkan sikap kasar dan menyakiti orang lain melalui kata-kata.

Pengetahuan baru


Situasi:
Hari ini kami berkuliah seperti biasa. Dan semasa pulang dari kuliah, saya berbual dengan salah seorang rakan sekelas saya. Kawan yang saya maksudkan itu berasal dari negeri di sebelah Timur. Kami berbual mengenai cara memasak makanan untuk santapan di pagi raya. Semasa sedang asyik kawan saya menyatakan antara menu-menu dan tips untuk senang menyiapkan menu tersebut, tiba-tiba kawan saya menyebut:
                                                “Sekising garam”
Saya yang begitu asing mendengar perkataan tersebut akhirnya tergelak kecil. Bukan niat mahu menghina cara sebutannya tetapi hairan mengapa pengambilan garam digandingkan dengan perkataan “kising”. Sedangakn dalam dialek Kelantan dan Terengganu perkataan “kising”  membawa maksud “tersengih”. Kemudian kawan saya menceritakan maksud yang didukung oleh perkataan tersebut iaitu bermaksud kita mengambil garam secara menggempal garam tersebut dan apabila kita menggempal garam itu, kita tidak dapat menutup tangan kita dengan rapat. Dengan penerangan tersebut, barulah saya faham akan makna tersebut.

Pendapat:
Setiap orang memiliki teknik dan cara percakapan yang berbeza. Kadang-kadang ada perkataan yang diwujudkan sendiri oleh seseorang apabila mendapati ia sedap didengar dan mudah diamalkan. Tambahan pula, gandingan perkataan ini memudahkan kita untuk memahami sesuatu situasi. Sama juga dengan “mencubit sedikit garam” iaitu untuk menggambarkan garam itu perlu diambil sedikit. Manakala “sekising garam” pula bermaksud kuantiti garam yang banyak.

Berbahasa


Situasi:
Kami sekumpulan ditugaskan untuk membuat kajian penyerapan modal insan di mana-mana institusi dan kami telah memilih institusi Pemurnian Akidah di Baitul Ehsan, Sabak Bernam. Sebelum bergerak ke sana, kami berkumpul di hadapan Kolej Harun Aminurrashid (KHAR). Semasa berkumpul, kami asyik menikmati keindahan alam dan melihat pelbagai jenis burung yang unik dan cantik. Terdapat juga sejenis burung yang saya tidak pernah tengok secara langsung selama ini dapat dilihat di situ. Burung yang dimaksudkan ialah burung enggang. Semasa sedang menikmati keindahan makhluk tuhan itu, saya terdengar salah seorang kawan saya menyebut:
                “Wah, ramainya burung tu…ada lima semua. Ramainya….”

Saya dengan spontan menegurnya,
                “***, bukan ramaila…banyak!”
Tetapi mungkin kawan saya itu tidak perasan dengan teguran saya kerana terlalu asyik melihat burung-burung yang unik itu berterbangan. Sementara kawan-kawan lain yang mendengar teguran saya itu gelak kecil kerana mereka tidak pernah mendengar individu yang menggunakan perkataan ramai untuk binatang.

Pendapat:
Bagi saya yang telah biasa mendengar perkara itu berulang kali menganggapnya perkara biasa dan tidak lagi asing di telinga saya. Tapi kalau boleh biarlah kata bilangan yang digunakan sesuai dengan apa yang ingin disampaikan. Contohnya, jika ingin memberikan kata bilangan kepada burung, gunakanlah perkataan banyak dan ramai untuk manusia.