BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Selamat datang ke blog saya.... =D


Isnin, 14 Mac 2011

BUDAYA BERTERIMA KASIH


SITUASI:
Budaya berterima kasih amat penting untuk diamalkan dalam kehidupan kita seharian. Kita haruslah menerapkan budaya ini dalam pelbagai situasi dan keadaan yang kita alami, terutamanya ketika kita menerima pertolongan dan bantuan daripada pihak tersebut. Sebagai tanda utnuk menghargai niat baiknya itu yang telah menolong, kita haruslah mengucapkan terima kasih. 
Saya pernah mengalami satu keadaan yang agak malang dalam hidup saya. Kejadian ini berlaku sekitar lima tahun lalu di mana saya telah menolong seseorang yang sangat memerlukan pertolongan. Dia telah merayu kepada saya agar menolongnya dan kerana bersimpati dengan keadaannya yang naïf, saya akhirnya menghulurkan pertolongan. Tetapi apa yang membuatkan saya terkilan, dia langsung tidak mengucapkan terima kasih kepada saya dan menghiraukan saya setelah saya menolongnya. Bukanlah niat saya untuk dia membalasnya tetapi cukuplah sekadar dengan ucapan terima kasih.
BUAH FIKIRAN:
Beginilah budaya dan adab masyarakat Melayu yang kian luntur. Mereka hanya mengenal kita di saat mereka memerlukan pertolonga  daripada kita dan akan meninggalkan kita setelah mereka memperoleh kesenangan. Dalam hal ini, kita seharusnya berterima kasih kepada orang yang telah menghulurkan pertolongan kepada kita sebagai tanda kita menghargai pertolongan yang diberikan olehnya. Sikap yang kurang sopan dan tidak beradab itu hanya akan menimbulkan persepsi negatif terhadap diri kita.  


BUDAYA MEMBERI SALAM


SITUASI:
Budaya memberi salam merupakan satu budaya yang sangat dituntut dalam kehidupan kita yang hidup bermasyarakat. Hal ini demikian kerana, melalui bidaya ini secara tidak langsung akan dapat mengeratkan lagi tali silaturrahim di antara setiap individu.
Bila bercerita mengenai budaya memberi salam ini, saya mula teringat sewaktu kunjungan saya ke rumah saudara kawan saya. Saudara kepada kawan saya ini telah berkahwin dan dikurniakan seorang anak perempuan yang sangat comel yang kini berusia tiga tahun. Apa yang membuatkan saya teruja, kanak-kanak sekecil itu telah diajar memberikan salam dan bersalam serta mencium tangan tetamu yang datang berkunjung ke rumahnya. Jadi, kita dapat lihat bahawa didikan ibu bapa amat penting bagi membentuk anak-anak yang bermoral tinggi.
Budaya memberi salam dan bersalam amat penting dalam kehidupan kita

BUAH FIKIRAN:
‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Itulah perumpaan yang dapat saya berikan berdasarkan situasi yang saya alami ketika itu. Didikan awal yang duberikan oleh ibu bapa kepada anak-anaknya perlu dititikberatkan. Hal ini tidak bermakna budaya ini hanya tertumpu kepada kanak-kanak sahaja tetapi sebagai oarng yang lebih dewasa, kita perlulah menerapkan budaya tersebut dalam diri kita dan sentiasa mengamalkannya walau di mana kita berada.

SULALATUS SALATIN


SITUASI:
Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu merupakan sebuah novel Melayu yang dijadikan teks wajib dan diajarkan kepada pelajar tingkatan enam. Setiap bab dan kandungan dalam karya ini telah ditulis dengan menggunakan bahasa Sanskrit ataupun bahasa Melayu Lama. Jadi, untuk memahami setiap jalan cerita yang terdapat di dalam novel ini tentu akan mengalami kesukaran. Bagi, pelajar tingkatan enam, masalah tersebut mungkin boleh diatasi dengan mudah kerana proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas diadakan di bawah bimbingan guru. Jadi, guru boleh menjadikan dirinya sebagai pemudah cara untuk memudahkan pelajar memahami bahasa tersebut.
Begitu juga sewaktu saya masih berada di tingkatan enam. Pada waktu itu, cikgu saya telah bertindak sebagai pemudah cara untuk memudahkan kami memahami jalan cerita karya tersebut, Cikgu kami telah menterjemahkan karya tersebut ke dalam bahasa Melayu Moden dan membuat sinopsis bagi setiap bab.

BUAH FIKIRAN:
Sulalatus Salatin merupakan sebuah karya agung yang wajar untuk dijadikan teks wajib bagi warganegara Malaysia untuk meningkatkan kesedaran nasional dan mengobarkan semangat cintakan tanah air dalam diri pembaca. Jadi, cadangan saya ialah sekiranya novel Sulalatus Salatin diterjemah ke dalam bahasa Melayu Moden, sudah tentu akan memudahkan pemahaman masyarakat sekarang untuk mengetahui setiap jalan cerita yang terkandung dalam novel ini.

BAHASA ISYARAT


Situasi:
Pada hari ini, saya ingin berkongsi cerita mengenai bahasa isyarat. Saya pasti ramai yang keliru untuk menentukan bahasa isyarat itu adalah sebuah bahasa ataupun tidak. Tetapi, pada hakikatnya bahasa isyarat itu juga merupakan sebuah bahasa kerana bahasa isyarat itu mengandungi makna, sistem dan kodnya yang tersendiri walaupun bahasa tersebut hanya menggunakan pergerakan tangan jari-jemari dan mimik muka. Saya juga yakin dan pasti bahawa ramai di antara kita yang sempurna dari segi fizikal tidak mampu untuk memahami bahasa isyarat. Hal ini demikian kerana kita sudah terbiasa berkomunikasi dengan golongan yang sempurna fizikal.
Tetapi berbeza pula dengan saya. Hal ini kerana saya mampu untuk berkomunikasi dengan orang kelainan upaya (bisu) menggunakan bahasa isyarat. Perkara ini berlaku kerana saya pernah tinggal sebumbung dan bekerja di bawah satu kilang dengan golongan ini. Jadi, tidak menjadi masalah untuk saya berinteraksi dengan mereka.
            Saya akui pada mulanya sememangnya agak sukar untuk saya membiasakan diri saya dengan situasi tersebut. Sebelum ini saya tidak pernah mendalami ilmu bahasa isyarat, apatah lagi mengamalkannya. Tetapi, hasil tunjuk ajar dan ilmu yang diberikan oleh mereka semua, akhirnya saya berjaya menguasai bahasa isyarat. Apa yang lebih membuatkan saya terharu ialah mereka telah menghadiahkan kepada saya sebuah buku ‘Bahasa Isyarat Malaysia’.

Buah Fikiran:
Tidak salah untuk kita mempelajari bahasa lain, khususnya bahasa isyarat. Keadaan ini akan menjadikan kita lebih fleksibel dan mampu untuk berkomunikasi dalam pelbagai cara sama ada menggunakan suara sebagai medium perantaraan ataupun menggunakan pergerakan jari-jemari. Saya pasti ramai yang seronok dan terhibur apabila mempelajari bahasa isyarat ini. Oleh sebab saya terlalu terhibur dengan bahasa ini, saya telah mengembangkan kemahiran saya dengan mempelajari lebih banyak pergerakan bahasa isyarat dengan merujuk kepada buku yang telah diberikan oleh kawan saya. selain itu, saya turut mengajarkan kepada kawan saya asas-asas pergerakan bahasa isyarat kepada kawan-kawan saya dan mereka kini juga sudah mampu untuk berkomunikasi dalam bahasa isyarat.

Jumaat, 11 Mac 2011

:: Cerita di Pasar Tani Tanjong Malim ::


Situasi:
Cerita saya kali ini berkisar di Pasar Tani di daerah Tanjong Malim. Pada satu pagi yang agak hening, saya telah ke pasar tersebut untuk membeli sayur-sayuran dan lauk untuk di masak. Hampir beberapa kali saya berjalan-jalan di kawasan pasar tersebut, akhirnya saya membuat keputusan untuk membeli sayur di kedai pakcik yang berbangsa Melayu. Ketika saya ingin membayar harga sayur tersebut, pakcik tersebut memberitahu harganya sebanyak “lapan kupang”. Pada mulanya saya agak terpinga-pinga tapi apabila cuba memahaminya barulah saya dapat mengerti bahawa kupang yang dinyatakan itu membawa maksud ‘sen’.

Buah fikiran:
Jika kita berada di geografi yang berbeza dari daerah kita, kita sepatutnya berusaha untuk memahami dialek dan loghat yang digunakan di tempat tersebut. Jadi, kita tidak akan mudah terkeliru dengan perkara yang kecil seperti yang pernah saya alami ini. Selain itu, jika kita memahami dialek mereka, masalah keberkesanan dalam proses komunikasi juga dapat dielakkan.

BAHASA MELAYU


Situasi:
Sebagai orang Melayu, saya berasa begitu berbangga kerana memiliki identiti yang tersendiri. Hal ini demikian kerana tidak semua bangsa di dunia ini memiliki bahasa dan budaya yang tersendiri. Berbeza dengan orang Melayu, mereka mempunyai bahasa dan budaya yang tersendiri. Contohnya bangsa Melayu memiliki bahasa Melayu yang boleh digunakan untuk bertutur dan mempunyai budaya tersendiri untuk diangkat dan diagungkan. Tambahan pula, pada masa dahulu bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca dan semua pedagang yang datang ke Tanah Melayu harus bertutur dalam bahasa Melayu. Begitu besar pengaruh bahasa Melayu di peringkat dunia suatu ketika dahulu. Ramai pengkaji bahasa sama ada dari barat atau timur telah mengkaji bahasa Melayu. Dan disebabkan itulah pelbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan, individu dan badan bukan kerajaan untuk memasyhurkan bahasa Melayu dan menjadikannya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara. Daripada titik-tolak itulah, bahasa Melayu akhirnya telah diiktiraf sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan Malaysia mengikut perkara 152 Perlembagaan Malaysia.
Pendapat:
Kita sepatutnya berasa bertuah dan berbangga dengan kejayaan yang dijulang oleh masyarakat kita, orang Melayu. Tanpa usaha dan tindakan bijak yang dibuat oleh mereka, mungkin bahasa Melayu telah lama tenggelam oleh bahasa penjajah.

Bahasa Jiwa Bangsa


Situasi:
Seronok bila menonton cerita Hantu Kak Limah Balik Rumah. Jalan ceritanya penuh dengan unsur humor dan boleh menghilangkan tekanan tatkala tugasan-tugasan semakin banyak yang diberikan oleh pensyarah. Dalam cerita tersebut juga, ada diselitkan dengan adegan apabila salah seorang pelakon menyatakan “Bahasa Jiwa Bangsa”. Saya cukup bersetuju dengan pernyataan tersebut kerana bahasa dapat mencerminkan siapa diri kita sebenarnya di sebalik topeng yang kita gunakan ini. Begitu juga hasrat kerajaan yang mahukan kita menggunakan bahasa yang baik dan berhemat. Dan usaha kerajaan ini diteruskan lagi dengan kempen-kempen yang diadakan apabila banyak papan tanda “Budi Bahasa Budaya Kita” yang digantung di segenap ruang sama ada di tepi lebuhraya, kedai, bangunan kerajaan, di tempat awam dan sebagainya.
                Tetapi apa yang menghairankan saya, ada juga segelintir masyarakat yang bermuka tebal dan berdegil menggunakan bahasa yang kesat dan kasar sedangkan ketika itu dia berdiri betul-betul di sebelah papan tanda tersebut. Kadang-kadang terfikir di hati saya apakah asuhan dan cara didikan keluarga juga mempengaruhi cara tutur kata kita? Ataupun rakan sebaya banyak mempengaruhi percakapan kita?

Buah Fikiran:            
Bagi kedua-dua soalan tersebut, saya berpendapat kedua-duanya mungkin mempunyai perkaitan rapat dan turut menyumbang kepada masalah dan isu tersebut. Tidak salah rasanya kita bertutur dalam bahasa yang elok dan berpekerti malah kita juga akan mendapat ganjaran daripada tuhan selain daripada disayangi oleh masyarakat dan orang sekeliling.