BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Selamat datang ke blog saya.... =D


Jumaat, 28 Januari 2011

SIRIH PULANG KE GAGANG ----> KELANTAN

Bendera Negeri Tercinta - KELANTAN



Alhamdulillah..Pagi esok (Sabtu) aku akan berangkat pulang ke kampung. Hati ini terasa tidak sabar untuk pulang ke kampung berjumpa keluarga dan kawan-kawan. Walaupun baru berada di Tanjong Malim sekitar sebulan tapi aku merasakan begitu lama masa berlalu. Aku rasa seperti akulah orang yang paling lama melangkah keluar dari Pekan Tanjong Malim. Kawan-kawan aku semua telah berangkat sekitar hari Khamis malam dan Jumaat pagi. Hal ini demikian kerana pada hari Khamis kami tiada kuliah. 

Jadi, bermula pada hari esok aku akan bertutur dalam dialek Kelantan, tidak kira kepada siapa kerana aku akan menjejakkan kaki di bumi Kelantan. Sesungguhnya aku bangga menjadi anak Kelantan. Kelantan sememangnya mempunyai dialek yang begitu unik kerana dalam menentukan satu makna, dialek Kelantan ini mempunyai banyak perkataan atau nama.  Begitu juga dengan satu perkataan tetapi mempunyai banyak makna. Unik, bukan?

Contoh perkataan yang terdapat dialek Kelantan yang mempunyai satu makna banyak nama ialah :
kerek, acak, sokmo  
  • kerek : disebut kèrek bermaksud acap kali, banyak, rapat-rapat; contoh aya
  1. Dia kerek singgoh di ghumah aku. ( Dia acap kali datang ke rumah aku.)
  • kèrek juga membawa maksud rapat, lawannya jarang; contoh ayat:
  1. Emakmu beranok kérek. ( Emak kamu beranak rapat-rapat atau banyak.)
Begitu juga kata acak dan sokmo yang digunakan bersilih ganti kerana membawa maksud yang sama atau hampir sama. Contoh ayat:-
  1. Dollah acak/kérek gi Kota Bharu. ( Dollah kerap pergi ke Kota Bharu.)
  2. Dia tidor sokmo/acak dale kelas. ( Dia selalu tidur di dalam kelas.)
Contoh perkataan yang terdapat dialek Kelantan yang mempunyai banyak makna satu pula ialah: 
bu'
Bu-a membawa maksud bercakap, cakap banyak yang lebih kepada bohong atau cakap tak jujur. Bu-a juga boleh membawa maksud menipu. Contoh ayat:-

1. Mu ni suko bena bu-a. ( Awak ni suka sangat bercakap. ) 
2. Jange cayo dio, dio acak bena bu-a. ( Jangan percaya dia, dia kerap bercakap bohong/menipu.)

Selain daripada perkataan bu'a, banyak lagi perkataan yang terdapat dalam dialek Kelantan yang mempunyai banyak makna. Antaranya ialah naka (nakal, lawak) dan belawok (menipu, berlawak). 

Wah, aku jadi semakin tidak sabar untuk balik ke kampung halamanku. Hanya tinggal lagi beberapa jam sahaja lagi aku akan melangkah dan menjejakkan kaki di bumi Kelantan. 

Buah fikiran: 
Dialek Kelantan merupakan salah satu daripada variasi bahasa yang unik dan kaya terutamanya dari segi sebutan, kosa kata dan makna. Bagi terus memelihara khazanah bahasa yang cukup berharga ini, pelbagai tindakan dan inisiatif telah diambil. Antaranya ialah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) telah mengadakan rancangan Rampai Budaya: Kayanya Bahasa Kita yang disiarkan secara langsung melalui siaran Kelantan FM.Sayangilah dialek kita! 8-)
Laman Web Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan
Logo Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan
Bergambar kenangan bersama dua orang pemain bola sepak Kelantan iaitu Daudsu dan Piya
Gomo Kelate Gomo...Bia sapa cawak gote..



Khamis, 27 Januari 2011

Ragam Bahasa Remaja

 
Sekarang pelbagai ragam bahasa yang digunakan terutamanya dalam kalangan remaja. Mereka seolah-olah cuba  membentuk perkataan lain agar ianya kelihatan lebih menarik dan sedap didengar serta disebut. Sebagai contoh:
  • Mereka (diorang)
  • Kami (kitorang)
  • Kamu semua (korang)
  • Seorang diri (sorang2)
  • Sayang (tayunk)
  • baiklah (okai, okeng)
  • kenapa dengan engkau (wak lu)
  • kenapa (amende)
  • I love You (i lap u, lebiu)
Bagaimana rasanya kalau anak-anak zaman sekarang bercakap begitu dengan kedua ibu bapa mereka? Mesti nampak agak kurang ajar, bukan? Contohnya: 
"Wak lu ayah?"
Mesti penampar hangat akan hinggap di pipi remaja itu dengan sepantas kilat kan? Mesti ibu bapa itu akan terkejut apabila anaknya berbicara sebegitu dengannya kerana ia menampakkan seolah-olah anaknya itu tidak mempunyai didikan agama yang cukup. 

Namun inilah yang dikatakan sosiolinguistik atau dengan kata lain bahasa dan masyarakat. Percakapan kita akan dan boleh berubah pada bila-bila masa sekiranya pergaulan dan pengaruh rakan sebaya berlaku. Saya juga percaya ramai yang meggunakan bahasa sebegini, baik yang bekerja, belajar di universitu mahupun yang tinggal di pelosok mana sekalipun. 

Komen: 
Tidak salah sebenarnya sekiranya kita berbahasa sebegitu namun jika dinilai dari sudut sensitiviti, ia dianggap tidak sopan dan boleh menyinggung sesetengah masyarakat yang mendengarnya. Apa salahnya jika cuba untuk menggunakan bahasa yang elok, bersopan dan sedap didengar? Apabila kita berbahasa dengan penuh sopan, orang lain juga akan menghormati kita. Betul?

Malaysia & Indonesia = Bahasa Melayu

Assalamualaikum kawan-kawan....

Hari ini saya belajar sesuatu yang baru. Kamu semua mahu tahu? Saya belajar perbezaan dan persamaan bahasa Melayu di Malaysia dan Indonesia. Sangat seronok!

Kalau kawan-kawan ingin tahu bahasa Melayu merupakan loghat utama dalam bahasa Indonesia yang dipergunakan oleh bangsa Indonesia, begitu pula dengan bahasa Melayu di Malaysia, Brunei, dan Singapura. Penamaan bahasa Melayu di Indonesia dengan nama bahasa Indonesia bermula daripada Sumpah Pemuda tanggal 28 Oktober 1928 sebagai bentuk persatuan dan kesatuan bangsa Indonesia yang memiliki khazanah budaya dan bahasa dan status tersebut dirasmikan menjadi bahasa negara pada kemerdekaan negara Republik Indonesia pada tahun 1945.
Tidak dapat dibezakan secara keterlaluan antara bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia dengan alasan bahawa bahasa Melayu yang dipakai sebagai bahasa kebangsaan Indonesia iaitu bahasa Melayu yang dipertuturkan di negeri Riau (merupakan bahasa Melayu Tinggi atau bahasa Melayu standar atau bahasa Melayu piawai) dan telah ditemukan bukti-bukti konkrit sejarah tentang asal-usul bahasa Melayu pada tulisan di batu tulis di daerah Sumatera Selatan dan hulu Jambi. Kecuali dengan pernyataan yang lebih khusus mengenai perbezaan ini, barulah boleh dengan nyata perbezaan ini boleh diserlahkan. Sebagai contoh, perbezaan bahasa Indonesia dan bahasa Malaysia. Dua bahasa itu meskipun berakar daripada bahasa Melayu yang sama iaitu bahasa Melayu dari tanah Sumatera, mereka memiliki latar belakang sejarah dan perlakuan yang berbeza daripada segi tatabahasa, kedinamisan, dan kosakata.
Perbezaan itu secara garis besar dapat dipaparkan sebagai berikut:
  1. Dari latar belakang penjajahan asing boleh dikatakan bahawa bahasa Indonesia lebih meminjam bahasa Belanda sedangkan bahasa Malaysia lebih meminjam bahasa Inggeris.
  2. Dari segi perlakuan, kedua-dua bahasa tersebut diperlakukan sesuai dengan kebijakan kebahasaan di negara masing-masing, namun ada perhimpunan yang mengatur bahasa Melayu yang dipanggil dengan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM).

Perbezaan yang penting antara bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia

Bhasa Indonesia berbeza daripada bahasa Melayu khususnya di Malaysia kerana mempunyai perkataan yang berasal daripada Jawa dan Belanda meskipun bahasa Indonesia didasarkan dan didominasi dari bahasa Melayu Riau. Contohnya "pejabat pos" dikenali sebagai "kantor pos" di Indonesia. Perkataan ini berasal daripada perkataan Belanda kantoor untuk "pejabat". Ketika zaman penjajahan, bahasa Indonesia menggunakan "oe" untuk bunyi "u", sama seperti bahasa Belanda. Namun, setelah penaklukan Jepun, ejaan tersebut ditukar kepada "u". Begitu juga dengan bahasa Melayu. Sebelum 1972, bunyi "ch" dieja dengan "ch" dan bahasa Indonesia menggunakan "tj". Oleh itu, perkataan "cap" telah dieja sebagai "chap" dan "tjap" dalam Bahasa Indonesia. Selepas "Ejaan Yang Disempurnakan" diperkenalkan pada 1972, kedua-dua bahasa menggunakan ejaan yang sama, iaitu "cap". Contoh ejaan lain ialah "dj" (Indonesia) diganti dengan "j" seperti di Malaysia. Ada beberapa ejaan yang masih dikekalkan atas sebab sejarah, contohnya "wang" (Bahasa Malaysia) dan "uang" (Bahasa Indonesia).

Cara sebutan juga berbeza dengan Indonesia dan Malaysia Timur bercakap dalam bahasa Baku, iaitu perkataan-perkataan disebut seperti dalam ejaan.

Perbezaan kosa kata

Bahasa Inggeris Bahasa Malaysia Bahasa Indonesia
March Mac (daripada Bahasa Inggeris) Maret (bahasa Belanda: Maart)
August Ogos Agustus (bahasa Belanda: Augustus)
challenge cabaran tantangan (cabaran [kecabaran] juga digunakan dalam makna ketakutan)
speak bercakap berbicara (bercakap juga digunakan)
shop kedai toko (kedai digunakan dalam erti warung)
ticket tiket   karcis (bahasa Belanda: kaartje; tiket juga digunakan)
pharmacy farmasi apotek (bahasa Belanda: apotheek; farmasi juga digunakan [biasanya untuk yang bermakna apotek, ia didampingi dengan kata instalasi sebelum kata farmasi])
Monday Isnin Senin
restaurant restoran rumah makan (restoran juga digunakan)
because kerana karena
hospital hospital ('rumah sakit' digunakan sebelum kemerdekaan Malaysia) rumah sakit (bahasa Belanda: ziekenhuis)
zoo taman haiwan, zoo kebun binatang (bahasa Belanda: dierentuin)
television televisyen televisi (bahasa Belanda: televisie)
university universiti universitas (bahasa Belanda: universiteit)
head office ibu pejabat kantor pusat
car kereta mobil, oto (kereta juga digunakan dengan penggunaan yang berbeza contohnya iaitu kereta gantung, kereta kuda, kereta angin, kereta dorong, kereta bogi, kereta jenazah, kereta api, dan sebagainya selain yang bermakna mobil atau oto)

Sama kata lain erti

Selain perbezaan kosa kata, Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia juga berkongsi perkataan-perkataan yang sama tetapi berlainan maksudnya. Oleh sebab perkataan-perkataan berkenaan kerap digunakan dalam salah satu atau kedua-dua bahasa tersebut, maka mudah timbulnya salah faham.

Perkataan Bahasa Malaysia Bahasa Indonesia
ahli seseorang (yang tergolong dalam sebuah kumpulan)
(hanya sebagai kata tunggal),
pakar dalam sesuatu bidang
pakar dalam sesuatu bidang
akta undang-undang surat rasmi yang disahkan oleh suatu badan rasmi atau pemerintah
baja bahan untuk menyuburkan tumbuh-tumbuhan keluli, besi waja
banci perhitungan bilangan penduduk dsb. seorang homoseksual pondan
berbual bersembang berbohong, omong kosong
bercinta meluahkan rasa kasih sayang sesama sendiri bersetubuhan
biji pil, benih benih
bisa racun, toksik boleh, dapat; racun
bogel telanjang, langusng tidak berpakaian bugil, orang kerdil
bontot/buntut punggung ekor
budak kanak-kanak, orang muda hamba abdi
butoh/butuh alat kelamin lelaki(lucah) perlu
comel cantik dan menarik, molek (ujaran bagi) seorang yang mulut tempayan (tidak boleh menyimpan rahsia); comel dalam erti cantik juga digunakan dalam bahasa daerah tertentu
email emel enamel, email
gampang anak luar nikah (kesat) senang; mudah
jabatan bahagian drpd pentadbiran kerajaan dll yg mengurus tugas-tugas tertentu kedudukan rasmi
jahat nakal durjana, penjenayah
jawatan kedudukan rasmi jawatan, pejabat pemerintah
jemput mengajak atau menyilakan datang memetik, mengajak atau menilakan datang
jeruk buah-buahan (sayur, telur, ikan, dll) yg telah diasamkan (atau diasinkan) oren
jimat cermat (tentang perbelanjaan wang atau penggunaan sesuatu), hemat, tidak boros azimat
kacak tampan, segak, menarik (bagi lelaki) memegang kiri kanan pinggang dgn kedua-dua belah tangan (berkacak pinggang); segak
kakitangan pekerja, seorang yang diupah ahli kongsi gelap
kapan (kain kafan/kapan), kain penutup mayat bila
karya hasil seni (karyawan=artists) work (karyawan= workers)
kerajaan mana-mana bentuk pentakbiran negeri/negara sistem kerajaan beraja; kerabat diraja
kereta motokar, kenderaan beroda empat yg digerakkan dgn enjin pembakaran dalaman kereta api, kereta gantung, kereta kuda, kereta jenazah, kereta dorong dll; kendaraan beroda yang digerakkan dengan enjin atau tenaga makhluk hidup (kereta dalam erti mobil adalah tidak lazim dalam bahasa Indonesia selain dalam bahasa daerah tertentu)
khidmat servis, kerja dll utk memenuhi keperluan orang ramai dll memberi tumpuan sepenuhnya, khidmah = hormat
pajak gadai janji cukai
pelan rancangan pembinaan atau pembangunan perlahan
pejabat tempat bekerja pegawai
pemerintah badan atau kumpulan orang yang mengendalikan pentadbiran sesuatu negara kerajaan
pengajian pendidikan pengajian al-Quran
percuma tidak dikenakan bayaran tidak berguna, sia-sia
pijat kutu; ralat pemprograman komputer urut
dari pijet (bahasa Jawa)
polis mata-mata, angkatan keselamatan sivil dasar (insuran dll.)
polisi dasar (insuran dll.) polis
pusing mengelilingi sesuatu tempat, bergerak dalam bulatan, berputar pening, keliru
pupuk menyemai (nilai murni dsb.) baja (juga bermaksud 'memelihara' dalam erti kata metafora)
tambang bayaran penggunaan pengangkutan awam lombong, tali
tandas jamban, tempat membuang air menjelaskan (sesuatu); menyelesaikan (sesuatu perkara) dengan tegas; jamban; tempat mandi di sungai
sulit rahsia; sukar sukar kerana jarang ditemukan

Komen: 
Wah, sangat bagus belajar tentang kedua-duanya ini! Memang tidak dapat dinafikan bahasa yang digunakan oleh kedua-dua negara ini tidak jauh bezanya kerana bahasa Melayu tetap menjadi dasarnya. Begitu juga dengan Brunei tetapi sebutannya lebih ke arah baku.

Kenapa dialek Kelantan?

Alkisahnya bermula di sini........

Semalam, iaitu bersamaan dengan hari Khamis tanggal 27 Januari 2011, aku ke kelas Sosiolinguistik Bahasa Melayu dan Karya Agung Melayu di Proton City. 
Kelas pertama yang aku hadiri ialah kelas Sosiolinguistik. Subjek ini diajar oleh seorang pensyarah wanita yang sangat selamba iaitu Dr. Saniah Abu Bakar. Semasa sedang seronok belajar, pensyarah telah menyebut tentang dialek Kelantan. Katanya, dialek Kelantan selalu dan sering didengar tidak kira di mana sahaja dan beliau juga menegaskan bahawa masyarakat Kelantan sukar untuk meninggalkan dialeknya. Pada saya tidak sama sekali. Apa yang menarik semalam, pensyarah kami telah belajar sesuatu yang baru dari kami iaitu satu istilah yang berasal dari Kelantan. 

Pada mulanya Dr. Saniah memberitahu bahawa masyarakat di Kelantan memanggil plastik dengan sebut "supik gelenya". Beliau juga sempat melawak bahawa sekiranya kami ke Sarawak dan sedang berbicara dengan orang Sarawak yang kita inginkan "supik", nanti sesuatu yang lain akan berlaku. Hal ini demikian kerana, masyarakat di Sarawak menganggap "supik" itu sebagai "sumpit". =P

Selepas itu saya bergurau dengan pensyarah bahawa saya tidak menyebut "supik gelenya" tetapi menggelarkan plastik tersebut sebagai "jabe rokrak". Pensyarah kami kelihatan pelik dan sedikit ketawa serta beliau cuba menyebut perkataan itu walaupun kedengaran agak lucu. Sebenarnya, pada zaman sekarang, tidak ramai yang meyebut perkataan itu kerana kebanyakan perkataan itu hanya meniti di bibir masyarakat Melayu lama di Kelantan. Saya sendiri juga memanggil palstik. 
plastik: supik gelenya, jabe rokrak

Komennya:
Sangat seronok jika kita dapat belajar sesuatu yang baru daripada dialek-dialek yang terdapat di Malaysia. Hal ini demikian kerana kita akan dapat menambah kosa kata yang terdapat dala kotak kamus kita. Dialek Kelantan juga kaya dengan semantik yang mempunyai satu nama tetapi banyak nama. 

Contohnya: 
tendang:  sepak, jek, tendang, enja 
tumbuk: tumbuk, timbuk
gaduh: gocoh, lawe, baloh
koyak: soyok, koyok, carik, seyek
gatal (sifat) : gelenya, gatal, garik, geletah

Kemudian, selepas tamat kelas Sosiolinguistik Bahasa Melayu, kami terus menuju ke kelas Karya Agung Melayu pula. Kelas ini diajar oleh Prof. Emeritus Abdullah Hassan. Beliau juga seorang pensyarah yang selamba tetapi penuh dengan ilmu pengetahuan. Pada awal kelas lagi beliau mendengar seseorang bertutur dalam dialek Terengganu tetapi disangkanya dialek Kelantan. Lantas dengan itu, beliau menasihati kami supaya cuba bertutur dalam bahasa Melayu standard kerana bahasa Melayu merupakan bahasa perantaraan kita di Malaysia. 

Komennya: Pengajaran buat masyarakat Kelantan. Cubalah bertutur dalam bahasa Melayu standard dalam konteks formal.

Selasa, 25 Januari 2011

DIALEK BERBEZA

Assalamualaikum semua...

Kali ini saya ingin bercerita tentang dialek-dialek yang terdapat di negara kita. Seperti yang kita telah sedia maklum, negara kita mempunyai pelbagai dialek yang unik mengikut negeri serta kedudukan geografi sesebuah tempat. Antara dialek yang cukup terkenal dalam kalangan kita adalah seperti dialek Kelantan, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang. Manakala dialek negeri Johor, Melaka dan Selangor tidak mempunyai banyak beza dan jika dilihat dengan mata kasar, ia langsung tidak menampakkan sebarang perbezaan. 

Hendak dijadikan cerita, saya sekarang menetap di Taman Bahtera Terrace Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Saya tinggal bersama rakan serumah yang berasal dari pelbagai negeri seperti Kelantan (tiga orang), Terengganu (seorang), Perlis (seorang), Pahang (seorang), Johor (seorang), Perak (dua orang) dan Kedah (dua orang). Ketika sedang menjamu selera, kami makan beramai-ramai dan apa yang paling menarik kami akan berbual dan berbicara menggunakan dialek negeri masing-masing. Kami semua tidak mengalami kesukaran dalam memahami ayat tersebut kerana ia lebih mudah difahami jika kita tahu konteksnya. Perbualan kami menjadi lebih menarik dengan adanya variasi dialek ini dan secara tidak langsung kami dapat mempelajari dialek masing-masing. 

Antara perkataan dari dialek Kedah yang menjadi ingatan tetap di kotak minda saya ialah "kopek". Hal ini demikian kerana dalam dialek Kedah perkataan "kopek" membawa maksud beg duit atau dompet tetapi dalam dialek Kelantan, perkataan tersebut membawa maksud payudara. Hal ini berbeza pula dengan bahasa Melayu standard kerana perkataan "kopek" akan mendukung makna mengupas sesuatu seperti mengupas kulit buah. Jadi, jika kita lihat di sini daripada satu perkataan kita dapat menjadikan ia pelbagai makna jika dilihat dari sudut semantik berdasarkan dialek negeri. 

Bagi saya, tidak rugi untuk seseorang itu belajar dialek daripada kawan-kawan yang berasal dari negeri yang berbeza kerana hal ini akan membuatkan kita kaya dengan kosa kata yang pelbagai. Di samping itu ia akan memudahkan lagi hubungan interaksi kita dan melancarkan lagi proses komunikasi kita bersama kawan-kawan yang berbeza negeri dan dialek. Jadi, belajarlah dialek-dialek yang terdapat di Malaysia. Walaupun sukar tapi tanpa keberanian mimpi tidak akan bermakna. =D 



Sabtu, 22 Januari 2011

BELAJARKAH?

 Assalamualaikum semua....


Petang tadi saya telah pergi ke pasar malam bersama kawan-kawan serumah saya. Pasar malam tersebut terletak di pekan Tanjong Malim. Saya bergerak menuju ke sana pada jam 6.30 petang. Kedai pertama yang saya kunjungi ketika itu ialah kedai Kak Nor. Kak Nor merupakan seorang pengusaha tudung. Terdapat pelbagai jenis tudung yang dijualnya.

Kemudian, kami menuju pula ke kedai yang menjual ikan. Setelah puas memilih akhirnya kami hanya memilih ikan kembong satu kilogram. Kemudian kami singgah ke kedai yang menjual buah-buahan dan kek. Manakala kedai terakhir yang kami kunjungi ialah kedai abang yang jual sayur-mayur. Terdapat pelbagai jenis sayur yang dia jual. Saya memang suka memborong sayur di kedai abang tersebut. Selain harganya yang berpatutan, abang tersebut juga melayan karenah pelanggannya dengan baik dan bersopan-santun. Apa yang menarik minat saya, ketika sedang khusyuk memilih sayur, datanglah seorang pelanggan yang berbangsa India. Dia berdiri di sebelah saya. Kemudian datang lagi pelanggan berbangsa Cina. Tapi apa yang memeranjatkan saya abang tersebut mampu dan berkebolehan bertutur dalam bahasa Cina dan Tamil dengan baik.

Jadi, pada pendapat saya, seseorang itu mampu untuk bertutur dalam pelbagai bahasa jika dia benar-benar ingin belajar dan tidak mudah putus asa. Dalam dunia perniagaan pula, ia akan memudahkan kita untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan masyarakat pelbagai budaya dan bangsa dan ini sekaligus akan mengeratkan lagi sesebuah perhubungan dalam sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk.

YANG BAIK JADIKAN TELADAN, YANG BURUK JADIKAN SEMPADAN

Assalamualaikum w.b.t


Saya baru sahaja selesai menonton cerekarama TV3 yang bertajuk 'Iqra'. Drama yang berlangsung selama dua jam ini dijayakan oleh Eman Manan sebagai tunjang utama, Jasmin Hamid sebagai isterinya dan beberapa lagi pelakon yang berkaliber. Apa yang menarik tentang filem ini ialah mengenai pengajaran dan nilai-nilai murni yang ingin diketengahkan oleh pengarang. Terdapat salah satu adegan dalam drama ini yang menarik minat saya untuk dibawa ke pena penulisan saya iaitu apabila watak utama iaitu Eman Manan telah menghina seorang alim ulama apabila alim ulama itu menyuruhnya membaca kitab suci al-Quran.

"Eh orang tua, kau berambus sekarang! Berambus! Kau tak payah nak suruh aku baca al-Quranlah..baik kau berambus sebelum aku sepak kau!!

Sikap biadab ini jelas diperlihatkan apabila Eman Manan menggunakan bahasa yang sungguh kasar terhadap alim ulama yang sudah tua. Sepatutnya dalam hal ini Eman Manan cuba bercakap dengan baik kerana orang tua tersebut mengajaknya untuk berjalan ke arah lorong yang diredhai Allah S.W.T. Namun, demi untuk menunjukkan realiti sebenar kehidupan masyarakat kita yang terpesong akidahnya, pengarah sengaja meletakkan adegan tersebut agar ianya dapat dijadikan iktibar kepada kita semua.

Begitu juga dengan adegan anak perempuan Eman Manan yang telah menengking ibunya yang menghalang dia untuk berjumpa dengan lelaki yang telah mengandungkannya. Anaknya telah menengking ibunya dan mengatakan bahawa ini bukan urusan ibunya. Sikap biadap ini amat dilarang dalam Islam. Begitu juga jika dilihat dari sudut kehidupan Melayu kita, sikap ini amat bertentangan dengan adat dan budaya hidup kita sebagai orang Melayu. Seorang ibu seharusnya dihormati dan disayangi. Dan anak perempuannya tersebut haruslah menjaga adat dan tertib sebagai perempuan Melayu dan menghormati ibunya dengan bercakap secara lembut dan sopan serta menggunakan bahasa yang baik-baik.

Sebagai anak, kita seharusnya melayan kehendak dan keinginan ibu bapa kita dengan baik. Kita tidak boleh menderhaka kepada orang tua kita walaupun dengan perkataan "ah". Syurga kita terletak di bawah telapak kaki ibu kita, tidak kira bagaimana sekalipun ibu kita itu. Renung-renungkanlah.