BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Selamat datang ke blog saya.... =D


Jumaat, 11 Mac 2011

Bahasa Jiwa Bangsa


Situasi:
Seronok bila menonton cerita Hantu Kak Limah Balik Rumah. Jalan ceritanya penuh dengan unsur humor dan boleh menghilangkan tekanan tatkala tugasan-tugasan semakin banyak yang diberikan oleh pensyarah. Dalam cerita tersebut juga, ada diselitkan dengan adegan apabila salah seorang pelakon menyatakan “Bahasa Jiwa Bangsa”. Saya cukup bersetuju dengan pernyataan tersebut kerana bahasa dapat mencerminkan siapa diri kita sebenarnya di sebalik topeng yang kita gunakan ini. Begitu juga hasrat kerajaan yang mahukan kita menggunakan bahasa yang baik dan berhemat. Dan usaha kerajaan ini diteruskan lagi dengan kempen-kempen yang diadakan apabila banyak papan tanda “Budi Bahasa Budaya Kita” yang digantung di segenap ruang sama ada di tepi lebuhraya, kedai, bangunan kerajaan, di tempat awam dan sebagainya.
                Tetapi apa yang menghairankan saya, ada juga segelintir masyarakat yang bermuka tebal dan berdegil menggunakan bahasa yang kesat dan kasar sedangkan ketika itu dia berdiri betul-betul di sebelah papan tanda tersebut. Kadang-kadang terfikir di hati saya apakah asuhan dan cara didikan keluarga juga mempengaruhi cara tutur kata kita? Ataupun rakan sebaya banyak mempengaruhi percakapan kita?

Buah Fikiran:            
Bagi kedua-dua soalan tersebut, saya berpendapat kedua-duanya mungkin mempunyai perkaitan rapat dan turut menyumbang kepada masalah dan isu tersebut. Tidak salah rasanya kita bertutur dalam bahasa yang elok dan berpekerti malah kita juga akan mendapat ganjaran daripada tuhan selain daripada disayangi oleh masyarakat dan orang sekeliling.  

Geografi Negeri


Situasi:
Besut  – Besut merupakan satu daerah yang terletak di dalam negeri Terengganu. Namun kerana faktor geografinya yang bersebelahan dengan negeri Kelantan, kesemua masyarakat Besut bertutur dalam dialek Kelantan. Tambahan pula, menurut cerita-cerita orang dahulu, Besut sebenarnya merupakan salah satu daerah kepunyaan negeri Kelantan namun kerana sikap raja Kelantan yang suka menyabung ayam dan akhirnya ayam sabungannya kalah, daerah Besut telah tergadai. Dan disebabkan faktor-faktor inilah mengapa semua masyarakat Besut bertutur dalam dialek Kelantan.

Pendapat:
Faktor geografi yang bersebelahan dengan negeri-negeri terdekat juga mempengaruhi dialek pertuturan seseorang. Begitu juga penduduk Gerik, Perak yang kebanyakannya bertutur dalam dialek Kelantan kerana geografinya bersebelahan dengan daerah Jeli, Kelantan. Begitu juga dengan penduduk daerah Kuantan, Pahang yang kebanyakannya bertutur dalam dialek Terengganu kerana kedudukan geografinya dua buah daerah ini berdekatan.

PANTUN MELAYU


Situasi:
Pantun Melayu Lama amat sinonim dengan kehidupan masyarakat Melayu. Pantun ini amat indah penciptaan dan pembentukannya. Daya cipta orang dulu-dulu tidak dapat digambarkan kerana dalam setiap pantun yang dicipta pasti menampakkan gaya keindahan yang pelbagai dan sangat menarik. Mereka akan menerapkan pelbagai unsur alam untuk memperlihatkan nilai estetik dalam karya. Pantun ini mempunyai banyak fungsi pada masa dahulu. Salah satu fungsinya adalah untuk digunakan dalam majlis merisik dan perkahwinan. Selain itu, pantun juga mempunyai banyak maksud tersurat dan tersirat atau konotatif dan denotatif. Contohnya, apabila kita tidak menyukai sesuatu perlakuan yang dilakukan oleh seseorang individu, kita boleh menyampaikan perasaan dan sikap kurang senang kita melalui pantun. Hal ini demikian kerana, ia tidak menampakkan kita marah terhadap individu terbabit kerana kita menyampaikannya secara kiasan dan tersirat. Contohnya:
                Paku dulang paku serpih,
                Mengata orang dia yang lebih.

Pendapat:
Keunikan pantun yang dicipta oleh masyarakat Melayu dahulu memang tidak dapat disangkal lagi. Tambahan pula ramai pengkaji-pengkaji Inggeris telah mengkaji pantun yang dicipta oleh orang Melayu seperti R.O. Winstedt. Pantun Melayu dapat berfungsi sebagai untuk menyampaikan perasaan,berhibur, untuk sebarang upacara majlis dan sebagainya.

PERBEZAAN DIALEK DALAM NEGERI

Situasi:
Kali ini saya begitu tertarik untuk berkongsi mengenai dialek yang terdapat di negeri Cik Siti Wan Kembang iaitu Kelantan Darul Naim. Walaupun negeri Kelantan hanya mempunyai satu dialek sahaja untuk dituturkan tetapi kita tetap dapat mengenalpasti perbezaannya apabila kita mengecam setiap perkataan yang keluar dari bibir penutur yang berbeza geografinya. Antara kawasan yang menampakkan perbezaan ialah Pasir Mas dan Pasir Puteh. Hal ini demikian kerana, terdapat sedikit sengauan perkataan yang digunakan di kawasan Pasir Mas dan Pasir Puteh. Contohnya bagi perkataan gam dan sepuluh sen.
Pendapat:
Tidak semua kawasan geografi di Kelantan menggunkan dialek yang sama secara seragam kerana bagi setiap geografi masih terdapat beberapa perbezaan sama ada secara jelas atau tidak. Kadang-kala bagi penduduk luar Kelantan, mungkin ia tidak nampak secara jelas tetapi bagi masyarakan Kelantan sendiri, mereka akan dapat merakam dan memerhatikan dengan jelas setiap perbezaan sesebuah geografi tersebut.

BAHASA PERSURATAN

Situasi:
Kali ini giliran kelas Prof. Emeritus Abdullah Hassan. Sudah biasa bagi kami untuk menggunakan bahasa Melayu standard dan baku apabila melangkah masuk ke kelasnya. Saya masih lagi mengingati nasihatnya apabila Prof. menyatakan bahawa kita sebagai pelajar bahasa Melayu, orang Melayu, bakal guru bahasa Melayu dan tuan Tanah Melayu haruslah menggunakan bahasa Melayu dengan baik. Beliau juga berpesan supaya kita berkomunikasi secara “sofisticated”. Hal ini demikian kerana, Prof. tidak mahu kita hanya ingin tampil cantik dalam berpakaian tetapi haru-biru dalam percakapan.
Pendapat:
Saya sama sekali bersetuju dengan pendapat yang diutarakan oleh Prof. Emeritus Abdullah Hassan. Hal ini demikian kerana cara kita bercakap itulah yang menggambarkan personaliti diri kita sama ada baik atau buruk. Tambahan pula, sebagai masyarakat Melayu kita telah diasuh untuk bertutur dalam laras yang sopan dan teratur agar tidak menampakkan sikap kasar dan menyakiti orang lain melalui kata-kata.

Pengetahuan baru


Situasi:
Hari ini kami berkuliah seperti biasa. Dan semasa pulang dari kuliah, saya berbual dengan salah seorang rakan sekelas saya. Kawan yang saya maksudkan itu berasal dari negeri di sebelah Timur. Kami berbual mengenai cara memasak makanan untuk santapan di pagi raya. Semasa sedang asyik kawan saya menyatakan antara menu-menu dan tips untuk senang menyiapkan menu tersebut, tiba-tiba kawan saya menyebut:
                                                “Sekising garam”
Saya yang begitu asing mendengar perkataan tersebut akhirnya tergelak kecil. Bukan niat mahu menghina cara sebutannya tetapi hairan mengapa pengambilan garam digandingkan dengan perkataan “kising”. Sedangakn dalam dialek Kelantan dan Terengganu perkataan “kising”  membawa maksud “tersengih”. Kemudian kawan saya menceritakan maksud yang didukung oleh perkataan tersebut iaitu bermaksud kita mengambil garam secara menggempal garam tersebut dan apabila kita menggempal garam itu, kita tidak dapat menutup tangan kita dengan rapat. Dengan penerangan tersebut, barulah saya faham akan makna tersebut.

Pendapat:
Setiap orang memiliki teknik dan cara percakapan yang berbeza. Kadang-kadang ada perkataan yang diwujudkan sendiri oleh seseorang apabila mendapati ia sedap didengar dan mudah diamalkan. Tambahan pula, gandingan perkataan ini memudahkan kita untuk memahami sesuatu situasi. Sama juga dengan “mencubit sedikit garam” iaitu untuk menggambarkan garam itu perlu diambil sedikit. Manakala “sekising garam” pula bermaksud kuantiti garam yang banyak.

Berbahasa


Situasi:
Kami sekumpulan ditugaskan untuk membuat kajian penyerapan modal insan di mana-mana institusi dan kami telah memilih institusi Pemurnian Akidah di Baitul Ehsan, Sabak Bernam. Sebelum bergerak ke sana, kami berkumpul di hadapan Kolej Harun Aminurrashid (KHAR). Semasa berkumpul, kami asyik menikmati keindahan alam dan melihat pelbagai jenis burung yang unik dan cantik. Terdapat juga sejenis burung yang saya tidak pernah tengok secara langsung selama ini dapat dilihat di situ. Burung yang dimaksudkan ialah burung enggang. Semasa sedang menikmati keindahan makhluk tuhan itu, saya terdengar salah seorang kawan saya menyebut:
                “Wah, ramainya burung tu…ada lima semua. Ramainya….”

Saya dengan spontan menegurnya,
                “***, bukan ramaila…banyak!”
Tetapi mungkin kawan saya itu tidak perasan dengan teguran saya kerana terlalu asyik melihat burung-burung yang unik itu berterbangan. Sementara kawan-kawan lain yang mendengar teguran saya itu gelak kecil kerana mereka tidak pernah mendengar individu yang menggunakan perkataan ramai untuk binatang.

Pendapat:
Bagi saya yang telah biasa mendengar perkara itu berulang kali menganggapnya perkara biasa dan tidak lagi asing di telinga saya. Tapi kalau boleh biarlah kata bilangan yang digunakan sesuai dengan apa yang ingin disampaikan. Contohnya, jika ingin memberikan kata bilangan kepada burung, gunakanlah perkataan banyak dan ramai untuk manusia.